KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap lima lelaki termasuk dua anggota tentera selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki dalam kejadian pukul di kelab snuker, tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menjatuhkan hukuman itu terhadap anggota tentera Mohamad Hairul Abdullah, 35, dan Lawrance Masing, 33, pengawal keselamatan, M. Yogesvaran, 24, pembantu kedai, Zaidi Zainal, 32, serta penyelia kedai emas Chong Kai Weng, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kelima-lima lelaki itu didakwa mengakibatkan kematian terhadap penganggur, Mohd Yusof Abd Khalib, 26, di V-Club Snooker, No. 25&27 Jalan Intan Baiduri 10D, Taman Intan Baiduri, Sentul dekat sini antara 8.30 malam hingga 11 malam pada 1 Mei 2016.

Kelima-lima lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mohamad Shariff, dalam penghakiman bertulis setebal 245 muka surat, berkata cerita kononnya kesemua tertuduh ingin menangkap penyamun dan membawanya ke balai polis adalah satu rekaan semata-mata dan mahkamah berpandangan cerita tersebut adalah satu keraguan fantasi yang tidak menjejaskan kes pendakwaan.- BERNAMA