Muhamad Umar Swift

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Bhd akan melancarkan Pasaran Karbon Sukarela (VCM) pada akhir tahun ini yang akan membolehkan syarikat membeli kredit karbon secara sukarela daripada projek dan penyelesaian mesra alam.

Bursa itu berkata sejajar dengan kesedaran yang semakin meningkat terhadap usaha berkaitan iklim, VCM akan memainkan peranan penting dalam menyokong pembiayaan bagi projek dan penyelesaian yang mengurangkan, menyingkirkan atau mengelakkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Penyertaan dalam pasaran karbon sukarela akan membolehkan syarikat mengimbangi jejak pelepasan karbon mereka dan memenuhi matlamat iklim sukarela mereka, kata Bursa Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi VCM Bursa Malaysia, kedua-dua pembeli dan pembekal akan dapat melakukan transaksi kredit karbon berkualiti tinggi pada harga yang telus.

“Bursa Malaysia berhasrat untuk menawarkan produk kredit karbon yang distandardkan bagi dagangan menerusi pasaran VCM berasaskan peraturan. Akan ada kategori produk berbeza bagi kredit karbon yang diperoleh daripada penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan teknologi yang mengurangkan atau menyingkirkan pelepasan karbon.

“Pasaran VCM akan mengumpulkan kredit karbon yang berkongsi ciri dan asas yang serupa dengan vintaj 2016 dan seterusnya. Selain itu, ia juga akan melabelkan produk untuk membezakan antara kredit karbon yang diperoleh di Malaysia dan global,” kata Bursa Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Muhamad Umar Swift berkata, penglibatan pemegang kepentingan  penting dalam memastikan pemahaman lebih mendalam dalam kalangan pemain industri untuk membolehkan penyertaan mereka dalam Pasaran VCM dan memenuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang diperlukan oleh pihak-pihak seperti bank.

“Dengan pemahaman yang lebih baik mengenai pengasalan kredit karbon dan proses penyenaraian, pemegang kepentingan akan dapat membangunkan kapasiti untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan karbon-kredit. Ini juga akan membantu industri menggunakan VCM untuk mengurangkan jejak karbonnya.

“Kami percaya pasaran VCM boleh berfungsi sebagai penginjak penting dalam merealisasikan aspirasi pelepasan rumah hijau sifar bersih Malaysia serta menyokong komitmen iklim sukarela sektor swasta dan usaha penyahkarbonan,” katanya.

Bursa Malaysia mempelawa pemaju projek yang berminat untuk mengemukakan hasrat mereka untuk membekalkan kredit karbon bagi lelongan serta pasaran VCM.

Begitu juga, pembeli korporat yang ingin menyertai dalam lelongan dan pembelian kredit karbon digalakkan untuk menghubungi Bursa Malaysia untuk tujuan tersebut.

Pihak-pihak yang berminat boleh menghantar emel kepada [email protected] atau mengakses borang pendaftaran minat di laman web Bursa Malaysia.

— BERNAMA