KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka terus mengalami dagangan secara berhati-hati dalam jangka terdekat bergantung kepada perkembangan kes jangkitan COVID-19, walaupun Bank Negara Malaysia mengambil langkah mengurangkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR).

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata,  peserta pasaran memberi reaksi positif susulan pengurangan terkini nisbah SRR sebanyak 100 mata asas, yang akan memberi penambahan kira-kira RM30 bilion mudah tunai ke dalam sistem kewangan.

Beliau berkata, ini akan membantu bank mengurangkan kos dana memandangkan wang yang diletakkan di dalam SRR tidak menghasilkan sebarang pulangan justeru, bank akan mempunyai lebih banyak sumber untuk meningkatkan pembiayaan.

“Saham perbankan meningkat secara ketara pada Jumaat susulan pengumuman itu. Bank-bank merupakan kira-kira satu pertiga daripada jumlah konstituen FBM KLCI, jadi tidak mengejutkan apabila indeks itu mencatatkan lonjakan besar.

“”Persoalan seterusnya adalah bagaimana kenaikan berterusan ini dapat bertahan dan mampan?, sekali lagi ia sangat bergantung pada perkembangan kes wabak Covid-19. Justeru, pasaran perlu kekal berhati-hati dalam jangka terdekat,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat sahaja, Malaysia mencatatkan 130 kes baharu Covid-19., sekali gus menjadikan keseluruhan kes positif jangkitan itu berjumlah 1,030 setakat ini.

Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank Bhd berkata penularan jangkitan Covid-19. telah menjejaskan pasaran ekuiti global yang mula mengalami gangguan bekalan pengeluaran, kehilangan jumlah kerja yang boleh dilaksanakan pekerja dalam tempoh bekerja serta perbelanjaan penggunaan yang lebih lemah, khususnya sekarang selepas Covid-19. diisytiharkan menjadi pandemik.

Ia berkata, pandemik, ditambah pula dengan krisis harga minyak mentah baru-baru ini, menyumbang kepada peningkatan premium risiko pasaran ekuiti dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

“Oleh itu, kami telah menyemak turun unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 2020 kepada 3.3 peratus daripada empat peratus sebelum ini. Kami menjangkakan kelembapan ini akan lebih buruk sekiranya wabak COVID-19 berlarutan,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu sehingga 31 Mac, bank pelaburan itu berkata ia adalah tindakan yang perlu, walaupun langkah itu mungkin menyebabkan pengguna lebih berhemat dalam perbelanjaan dan syarikat yang dikategorikan sebagai ‘bukan perkhidmatan penting’ akan terjejas.

Ia berkata sektor seperti perjudian, REIT runcit, peruncit pengguna, penjual harta dan automotif akan paling terjejas susulan penutupan perniagaan.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 41.47 mata kepada 1,303.28 daripada 1,344.75 minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 483.63 mata kepada 8,842.78, Indeks FBMT 100 turun 429.66 mata kepada 8,789.30 dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 320.85 mata kepada 9,664.14.

FBM 70 merosot 1,121.96 mata kepada 9,888.27 dan Indeks FBM ACE menguncup 772.87 mata kepada 3,519.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 1,000.83 mata kepada 11,821.51, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 11.22 mata kepada 99.75 manakala Indeks Perladangan meningkat 90.12 mata kepada 5,937.63.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 21.61 bilion unit bernilai RM17.35 bilion daripada 25.01 bilion unit bernilai RM17.67 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 16.73 bilion saham bernilai RM16.46 bilion daripada 18.12 bilion saham bernilai RM16.47 bilion.

Waran mencatatkan jumlah dagangan sebanyak 1.68 bilion unit bernilai RM353.34 juta berbanding dengan 2.33 bilion unit bernilai RM353.72 juta pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 3.18 bilion saham bernilai RM539.26 juta daripada 4.64 bilion saham bernilai RM838.56 juta. – MalaysiaGazette