Sebagai permulaan, sebanyak 70 ekor burung cinta atau dinamakan Lovebird Paradise dilepaskan di dalam sangkar aviary Taman Buaya dan Reakrasi Melaka untuk berinteraksi dengan pengunjung.

MELAKA – Taman Buaya dan Rekreasi Melaka (TBRM) memperkenalkan 70 ekor spesies burung nuri terkecil di dunia atau dikenali burung cinta sebagai tarikan terbaharunya pada tahun ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan ARTAC, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chick berkata, burung kakak tua berasal dari Afrika itu diyakini mampu menjadi penyumbang kepada sasaran pihaknya mahu mencapai 150,000 pelancong tahun ini berbanding 130,000 tahun lalu.

Menurutnya, haiwan bernilai RM350 seekor itu mampu menjadi daya penarik kerana merupakan spesies dilindungi dan sukar didapati di hutan negara ini.

“Sebagai permulaan, sebanyak 70 ekor burung cinta atau dinamakan Lovebird Paradise ini dilepaskan di dalam sangkar aviary Taman Buaya dan Reakrasi Melaka untuk berinteraksi dengan pengunjung.

“Kita sasarkan, bilangan burung yang sangat aktif berkicau dan mempunyai pelbagai warga ini akan meningkat sehingga 500 ekor pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelepasan burung berkenaan di TBRM di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar TBRM, Ahmad Syarifuddin Mohamad.

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, selain burung cinta, taman haiwan itu juga akan mempunyai beberapa lagi tarikan baharu untuk membantu mencapai sasaran peningkatan pengunjung tahun ini.

“Secara keseluruhannya, kita memerlukan RM1.6 juta untuk kos operasi TBRM tahun ini dan daripada jumlah itu, RM300,000 diperuntukan untuk kos pembangunan termasuk menambah baik segala kemudahan yang ada.

“Kita ada dua lagi tarikan terbaharu melibatkan syarikat pelabur luar iaitu rumah hantu dan ladang mini yang kini diperingkat rundingan bersama syarikat pelabur tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette