Tengku Adnan Tengku Mansor berucap pada perasmian Karnival Ceria & Sukan Komuniti Jom Bantu Rakyat di Padang Perumahan Awam Seri Johor, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 23 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa harga melampau yang dikenakan oleh peniaga-peniaga dan pengusaha restoran hari ini didalangi oleh parti pembangkang.

Menurutnya, persetujuan harga yang dikenakan kepada pelanggan diputuskan oleh institusi pengusaha makanan yang dianggotai ahli pembangkang.

“Ia (caj melampau) memang didalangi oleh pihak pembangkang.

“Saya kenal pasti bila ada mesyuarat pertubuhan (restoran), di dalam pertubuhan itu ada ahli DAP, PKR dan puak inilah menidakkan apa yang kerajaan cuba bantu rakyat selain memastikan harga ini diperbetulkan,” dakwa Tengku Adnan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis perasmian Karnival Ceria dan Sukan Komiti Jom Bantu Rakyat di Padang Perumahan Awam Seri Johor, Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, teguran yang dibuat bukan tertumpu kepada kedai mamak sahaja seperti laporan sebelum ini.

Tambah beliau, ia hanya kebetulan di mana teguran yang dibuat ketika mesyuarat agung tahunan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) berlangsung.

“Sebenarnya bukan kedai mamak sahaja, kedai Melayu pun ada, Cina dan India pun ada.

“Kebetulan hari itu saya bercakap pada program Kimma, saya tersebut mamak. Mamak marah pada saya kenapa? Kalau tak buat jangan marahlah. Saya cakap yang betul, saya boleh tunjuk bukti daripada Whatapps rakyat kepada saya bil yang tak masuk akal.

“Bila kita minta harga di tekan kalkulator dapat satu harga, suruh buat lagi sekali lain harga,” katanya.

Pada 15 April lalu, Tengku Adnan menegur pengusaha-pengusaha restoran mamak yang mengenakan caj melampau ke atas teh tarik dan roti canai.

Beliau dipetik berkata, walaupun subsidi gula lebih awal dikurangkan 34 sen sekilogram, beberapa restoran menaikkan harga secawan teh tarik sebanyak 50 sen.

“Adakah terdapat satu kilogram gula di dalamnya (secawan teh tarik)? Mengapa? Begitu juga dengan tepung dan minyak masak. Mengapa harga sekeping roti canai naik mendadak?

“Jangan mencatut. Haram (dilarang)!” katanya pada mesyuarat agung tahunan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).

Justeru, Tengku Adnan akan menyeru penguasaha meletakkan tanda harga di restoran mereka serta memberikan resit bayaran bagi memudahkan pengguna mendapatkan harga sebenar.

“Saya minta DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) bersama KPDNKK (Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) turun memantau tanda harga jualan dia.Tidak munasabah air kosong sehingga RM1.60 dan nasi putih RM3.00,” katanya. – Malaysia Gazette

Comments are closed.