Koo Shiaw Lee

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia menyifatkan Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional sebagai satu gabungan yang “cakap tidak serupa bikin” kerana melantik beberapa pemimpin parti politik dalam syarikat (GLC).

Naib presidennya, Koo Shiaw Lee berkata, keputusan melantik pemimpin politik dalam syarikat GLC adalah bercanggah dengan pendirian gabungan parti tersebut.

“Sebelum ini, kerajaan telah menamat pelantikan politik serta merta, kononnya nak mengelakkan berlakunya rasuah dan salah guna kuasa dalam syarikat GLC. Tetapi mereka mengulangi kesilapan yang sama dengan melantik ahli-ahli Parlimen UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam syarikat GLC” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Ahli Parlimen Balik Pulau PKR, Bakhtiar Wan Chik sebagai pengerusi MyCreative Ventures Sdn Bhd dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi MARA, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Bukan itu sahaja, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA.

Koo Shiaw Lee yang juga Ketua Penerangan Gerakan berkata, perkara sebegini tidak sepatutnya terjadi lagi.

“Masa dan perhatian mereka akan dibahagikan antara melaksanakan tugas Parlimen dan korporat mereka. Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri sepatutnya dilarang daripada memegang jawatan dalam GLC.

“GLC adalah penjaga kekayaan dan sumber awam dan kita perlu melantik orang yang paling layak untuk menambah nilai kepada entiti korporat ini daripada menghabiskan dananya melalui gaji dan faedah yang lumayan” jelasnya. – MalaysiaGazette