Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pemilik kelab Johor Darul Ta’azim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih lagi ‘mengunci mulut’ mengenai keputusan samada menerima pencalonan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tarikh akhir pengesahan menerima pencalonan itu akan berakhir tiga hari lagi.

Dalam satu temubual yang dikeluarkan dalam laman Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail berkata buat masa ini beliau masih belum berfikir mengenainya.

“Buat masa ini tidak terfikir apa apa lagi kerana saya sedang sibuk bekerja keras untuk beli sebuah kelab bola sepak luar negara, kemungkinan di Eropah kalau ada rezeki dan sibuk menjalankan tugas di Johor,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangannya, Tunku Ismail berkata: “Seorang anggota Special Forces tidak akan mendedahkan rancangannya melainkan anda seorang berpangkat kehormat.”

Namun pada masa sama, Tunku Ismail memberi bayangan sedia mengetuai badan induk bola sepak itu apabila menegaskan beliau mempunyai sumber untuk memenuhi impian penyokong bola sepak tempatan.

“Mereka adalah orang yang baik. Saya seorang yang angkuh. Tetapi perbezaan di antara kami adalah mereka memerlukan wang, kedudukan, dan kemudian membunuh impian anda.

“Saya pula mempunyai sumber untuk memenuhi impian anda,” katanya ketika ditanya wartawan mengenai perbezaan antara dirinya dan tiga calon lain yang bertanding untuk jawatan tersebut.

Mengenai beberapa individu yang berhasrat menjadi presiden badan induk itu, Tunku Ismail berkata: “Maksud anda proksi Menteri Belia dan Sukan?

“Saya rasa cukup menyedihkan untuk melihat kami perlu bergaduh dengan badan induk dan beberapa individu hanya untuk menyelamatkan bola sepak.”

Justeru, beliau meminta peminat bola sepak tempatan supaya berfikir dengan bijak seperti seorang jeneral yang dalam Indian Army yang memberitahu beliau supaya jangan memandang rendah kuasa ahli politik terdesak.

Katanya, golongan tersebut sanggup melakukan atau mengatakan apa sahaja untuk mengekalkan kedudukan mereka dan memanipulasi minda yang tidak bersalah untuk kepentingan peribadi.

Mengenai perkara pertama akan dilakukan apabila memasuki bangunan FAM jika menerima pencalonan dan berkemungkinan menjadi Presiden FAM, Tunku Ismail dalam nada sinis berkata: “Tidak hairanlah neraka kosong. Semua ada di sini.”

Setakat ini, hanya bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang sudah menghantar borang pengesahan pencalonan bagi merebut kerusi nombor satu FAM itu.

Sementara itu, Tunku Ismail dan dua lagi calon dicalonkan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat masih belum membuat pengesahan.

Ura-ura Tunku Ismail akan bertanding untuk kerusi Presiden FAM, selepas mendapat perkenan ayahandanya Sultan Johor, hanya dimaklumkan oleh penyokong kuatnya iaitu Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka, Datuk Mohd Yusoff Mahadi manakala TMJ sendiri masih berdiam diri.

Semua calon terbabit perlu mengesahkan untuk menerima pencalonan sebelum 13 Februari ini dengan senarai akhir bertanding akan diumumkan pada mesyuarat Exco FAM, 20 Februari ini. – MalaysiaGazette