Menteri Kesihatan merangkap Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam. foto FAREEZ FADZIL, 23 FEBRUARI 2018.

SERDANG – Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam dengan nada tegas mengulangi pendirian bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands adalah milik parti komponen Barisan Nasional (BN), dan menolak untuk berbincang dengan sesiapa yang inginkan kerusi berkenaan.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata, parti itu sering kali menyatakan bahawa Cameron Highlands adalah milik mutlak parti itu biarpun masih belum mendapat lampu hijau daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

“MIC dah beritahu bahawa itu (Cameron Highlands) adalah kerusi kita, tidak perlu bincang,” katanya selepas menyempurnakan Karnival Sukan Antara Universiti 2018 di Universiti Putra Malaysia.

Majlis anjuran Putera MIC itu turut dirasmikan bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Subramaniam ditanya samada terdapat sebarang perbincangan mengenai kerusi kontroversi itu dengan Najib menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

Isnin lalu, Subramanian mengesahkan bahawa kerusi berkenaan adalah kepunyaan parti itu malah akan tetap mempertahankan kerusi berkenaan yang dianggap kerusi tradisi partinya.

Kemelut perebutan kerusi Cameron Highlands bermula apabila Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayvies nekad untuk bertanding di kerusi milik MIC.

Pada 24 Oktober lalu, Kayvies ada menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Subramaniam bagi menyelesaikan kemelut kerusi calon BN bagi parlimen itu.

Namun tiada sebarang pertemuan direkodkan sehingga hari ini.

Pada PRU-13 lalu, Datuk Seri G Palanivel memenangi kerusi berkenaan atas tiket BN dengan majoriti 462 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Bagaimanapun, bekas presiden MIC itu diumumkan bukan ahli parti pada Jun 2015. – MalaysiaGazette