APMM Kedah dan Perlis menemui satu guni berisi ganja yang dipercayai dibuang suspek sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa di kedudukan 2.9 batu nautika barat laut Pulau Dangli, Langkawi, Kedah.

LANGKAWI –  Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis mematahkan cubaan menyeludup masuk ganja dari negara jiran selepas memintas sebuah bot fiber yang datang dari arah perairan Thailand, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pihaknya menemui ganja seberat sembilan kilogram bernilai RM45,000 dalam guni di kedudukan 2.9 batu nautika barat laut Pulau Dangli yang dipercayai dibuang suspek sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Jelas beliau, Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi telah mengesan pergerakan sebuah bot fiber masuk ke perairan negara dari sempadan Thailand dalam keadaan gelap sebelum bot peronda digerakkan ke lokasi.

“Bot peronda memintas bot fiber tersebut namun menyedari kehadiran pihak berkuasa suspek bertindak membuang satu bungkusan guni ke laut sebelu berpatah balik menuju ke arah sempadan Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ganja seberat sembilan kilogram itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan guni yang dibuang itu mengandungi sembilan ketulan ganja mampat yang diletakkan dalam plastik berwarna emas.

“Semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette