Rumah kejadian seorang remaja lelaki dipercayai mencekik hingga mati adiknya di Kampung Bukit Piatu, Melaka, hari ini.

ALOR GAJAH – Dua pelajar lelaki diambil keterangan berkaitan kes buli membabitkan seorang pelajar junior sebuah sekolah Arab di Alor Gajah di sini yang juga merupakan suspek kes bunuh adiknya Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kedua-dua pelajar berusia 16 tahun itu dipercayai terlibat dalam kejadian buli suspek yang juga pelajar tingkatan dua di sekolah sama.

“Setakat ini, dua individu sudah diambil keterangan untuk membantu siasatan lanjut kes buli berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun keseksaan.

“Pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum ia akan diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN),” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Arshad Abu  

Bagaimanapun setakat ini tiada tangkapan dilakukan dan orang dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan.

Rabu lalu, MalaysiaGazette melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik sehingga mati oleh abang kandungnya di rumah keluarga mereka di Kampung Bukit Piatu di sini kira-kira pukul 12 tengah hari.

Kejadian disedari ibunya yang terlihat perbuatan anak sulungnya itu melalui sistem sistem kamera litar tertutup (CCTV) dari telefon bimbitnya sebelum menghubungi jirannya untuk membantu melihat anaknya di rumah.

Sebaik membuka pintu, jirannya itu terkejut apabila mendapati remaja lelaki berkenaan sedang mencekik adiknya yang sudah tidak bernyawa sebelum dia segera menepis tangan pelajar tingkatan dua itu.

Susulan itu, pelajar berkenaan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 12 Julai ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sebelum ini, bapa remaja berkenaan mendakwa anak sulungnya itu sering menjadi mangsa buli pelajar senior sekolah asrama sejak tahun lalu apabila hampir setiap hari dipukul, disepak dan dicekik pelajar senior.

Dakwanya lagi, perbuatan itu pernah diadukannya kepada pihak sekolah malah sudah membuat laporan polis namun tiada sebarang tindakan diambil terhadap pelajar terbabit. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Adik maut dicekik abang kandung