Kontrak

KUALA LANGAT – UMNO masih menunggu keputusan daripada Pas sama ada mahu bersama  atau sebaliknya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sehingga kini,  Pas masih belum memberikan keputusan muktamad.

Namun beliau berkata, parti itu seolah-olah memberi bayangan untuk ‘bercerai’ dengan UMNO.

Tambah Pengarah Pilihan Raya UMNO itu lagi, pembahagian kerusi hanya akan boleh dimuktamadkan selepas Pas membuat keputusan.

“Pas sudah lama kita bersama bekerjasama sekarang pembahagian kerusi sahaja dan memastikan Pas betul-betul mahu bekerjasama. Kalau bunyi-bunyi belum tentu lagi, macam nak bercerai sahaja (dengan UMNO).

“UMNO sangat jelas nak bersama dengan Pas dalam pilihan raya akan datang dalam tempoh ini kita sedang tunggu kalau dapat keputusan daripada Pas kita bahagi-bahagilah kerusi untuk dipertandingkan,” katanya.

Terdahulu selaku Pengerusi Kumpulan Prasarana, beliau mengadakan lawatan kerja ke Kilang Pengacuan  U-through Girder di Saujana Putra dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tajuddin menambah, UMNO terbuka sekiranya Pas mahu bertanding sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun ujar Ahli Parlimen Pasir Salak itu, UMNO akan tetap bertanding di semua kerusi secara solo sekiranya Pas membuat keputusan untuk meninggalkan parti itu.

“Pas pun tidak mahu banyak sangat, nak bertanding 30, bertandinglah ada 222 kerusi. Seperti saya cakap sebelum ini UMNO kalau dengan Pas tidak mengapa tapi UMNO akan bertanding 96 kerusi.

“Kalau Pas rasa bahawa nak kahwin lagi satu, nak ceraikan UMNO, tidak mengapa kita (UMNO) bertanding sendirian. Ini keputusan parti bukan keputusan saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan keputusan UMNO untuk hanya boleh bekerjasama dengan Pas menjelang PRU-15 tidak terpakai sehingga selepas pilihan raya.

Ini kerana katanya, UMNO akan mempertimbangkan mana-mana parti yang berminat untuk mengadakan kerjasama untuk menubuhkan kerajaan selepas itu.

“Kita akan berurusan dengan Pas sahajalah dengan lain kita sudah buat keputusan tidak akan bekerjasama dengan PKR atau DAP atau sesiapa tetapi selepas pilihan raya kena tengok bagaimana keadaan.

“UMNO terbuka sesiapa juga masa itu kata berminat untuk bekerjasama, lihatlah kalau ia memabwa kebaikan kepada UMNO, rakyat, negara untuk menubuhkan kerajaan yang baik, kita terbuka tapi bukan sekarang.

“Daripada dulu UMNO bukan tamak daripada tubuh kerajaan Barisan Nasional (BN) kan kita kongsi dengan MCA, MIC dan lain-lain parti,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette