Penguatkuasa Pejabat Tanah dan Daerah Petaling sedang merobohkan struktur pagar haram yang dibina penceroboh di Hutan Bukit Cherakah bersebelahan Taman Bukit Bayu U10, Shah Alam.

SHAH ALAM – Persatuan Pemilik dan Penduduk Taman Bukit Bayu U10 boleh menarik nafas lega apabila isu pencerobohan tanah hutan simpan Bukit Cherakah bersebelahan Taman Bukit Bayu U10 menemui jalan penyelesaiannya, hari ini.

Tindakan itu adalah berita baik kepada penduduknya yang saban hari berdepan risiko tanah runtuh dek kerana kerja-kerja pembinaan struktur haram yang mengancam keselamatan mereka.

Menurut persatuan itu, kira-kira 40 anggota penguatkuasa daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pejabat Tanah dan Daerah Petaling serta Air Selangor melakukan kerja-kerja perobohan binaan haram itu, sejak jam 9 pagi, hari ini.

“Hampir empat jam kerja-kerja perobohan itu dilakukan tiga pihak berkuasa ini, bermula dengan pagar, tangki air hingga laluan berbumbung haram dirobohkan satu persatu yang kemudiannya dilupuskan menggunakan lori MBSA.

“Boleh dikatakan semua struktur kebun durian haram ini telah dirobohkan sepenuhnya,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Struktur tangki air haram yang dibina di cerun bukit di Hutan Bukit Cherakah bersebelahan Taman Bukit Bayu U10, Shah Alam.

Pada 13 Disember lepas, MalaysiaGazette mendedahkan kira-kira setengah ekar tanah hutan simpan Bukit Cherakah di sini didakwa diceroboh oleh salah seorang penduduk Taman Bukit Bayu U10 tujuan pertanian komersial.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, tanah terbabit dibersihkan dan kelihatan beberapa pekerja dipercayai warga asing sedang melakukan kerja-kerja penyiraman dipercayai tapak semaian pokok durian.

Pencerobohan tanah hutan simpan itu didakwa dilakukan sejak tujuh bulan lalu, ketika negara masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penguatkuasa Pejabat Tanah dan Daerah Petaling sedang merobohkan struktur pagar haram yang dibina penceroboh di Hutan Bukit Cherakah bersebelahan Taman Bukit Bayu U10, Shah Alam.

Persatuan itu juga tidak menolak kemungkinan kerja-kerja perobohan struktur haram itu dipercayai selepas tindakan penguatkuasa Pejabat Tanah dan Daerah Petaling sebelum ini yang memasang papan notis pencerobohan itu pada 15 Disember lepas.

“Kalau ikut notis itu, penceroboh diberi tempoh 14 hari untuk menanggal, meroboh, membuka ataupun mengeluarkan semua struktur haram itu dari tanah milik kerajaan negeri.

“Memandangkan kini tempoh itu sudah tamat, tidak hairanlah jika pihak berkuasa terus bertindak merobohkan semua binaan haram ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Pejabat Tanah Petaling letak notis amaran ceroboh hutan Bukit Cherakah