Kira-kira 50 anggota pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Laskar Merah Putih semalam mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Kompleks Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia semalam.

JAKARTA – Kira-kira 50 anggota pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Laskar Merah Putih semalam mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Kompleks Kedutaan Besar Malaysia di sini bagi meluahkan kekecewaan berhubung bendera Indonesia dicetak terbalik dalam buku cenderamata Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Mereka berkumpul kira-kira dua jam bermula 2 petang di hadapan kompleks kedutaan itu di Kuningan dan memasang kain rentang yang mendesak Malaysia sekali lagi memohon maaf kepada rakyat Indonesia berhubung insiden itu.

Mereka juga membawa poster dan pemidang yang tertera dakwaan kononnya Malaysia banyak melakukan kesalahan dan mendesak kerajaan Indonesia memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Ketua Umum Laskar Merah Putih, Adek Ervil Manurung dalam ucapannya menyifatkan cetakan bendera terbalik itu sebagai sesuatu yang melampau dan memalukan Indonesia.

“Kami menilai Malaysia sudah keterlaluan, ini tidak bisa dibiarkan. Ini mempermalukan bangsa kita dan kerajaan Malaysia harus memohon maaf kepada rakyat Indonesia,” katanya.

Selain itu, pertubuhan berkenaan juga membangkitkan isu kononnya kerajaan Malaysia melanggar undang-undang berhubung pembelian sebidang tanah adat di Kemang di sini.

Adek dan dua lagi wakil pertubuhan itu kemudian dibenarkan memasuki kompleks kedutaan untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Timbalan Duta Malaysia di Indonesia Zamshari Shaharan.

Zamshari ketika ditemui berkata beliau menerima memorandum itu dan turut memaklumkan kepada mereka bahawa kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Luar telah menyatakan permohonan maaf secara rasmi kepada kerajaan dan rakyat Indonesia.

Mengenai dakwaan tanah itu, beliau berkata pihak kedutaan menghormati undang-undang Indonesia dan kes itu telah dibawa ke mahkamah.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin telah menemui Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi di Kuala Lumpur bagi menyatakan kekesalan dan memohon maaf atas kesilapan tersalah cetak bendera negara ini.

Presiden Joko Widodo dalam kenyataanya semalam meminta rakyat Indonesia supaya tidak memperbesarkan isu berkenaan, walaupun beliau kesal dengan kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette

Indonesia maafkan Malaysia