Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard
Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard

KUALA LUMPUR – Dua individu dijangka membuat laporan berasingan terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis hari ini.

Kedua-dua itu ialah bekas ahli seumur hidup PKR, Badrul Hisham Saharin dan adik kepada Menteri Besar Selangor sendiri, Azwan Ali.

Pada pukul 11.30 pagi, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard akan membuat laporan di Ibupejabat SPRM Putrajaya manakala pukul 3.30 petang pula Azwan membuat laporan di Ibupejabat Polis Dang Wangi.\

Azwan Ali

Chegubard dalam kenyataannya memberitahu, laporan itu ada kaitan dengan pendedahan sindiket penipuan dan korupsi pasir di Selangor.

“Saya akan serahkan kepada SPRM set 230 muka surat dokumen yang terdiri dari dokumen perjanjian, surat tawaran, gambar berkaitan, dokumen transaksi bank, salinan laporan polis dan yang paling menarik ialah surat akuan bersumpah yang terlibat mendedahkan sebahagian kegiatan sindiket ini.

“Ia mengaitkan pimpinan pusat PKR, Exco Kerajaan Negeri, Ketua Cabang PKR dalam Selangor dan individu yang dikenali sebagai bakal calon boleh menang PKR,” katanya.

Chegubard mendakwa maklumat yang sama sudah ada ditangan beberapa pemimpin PKR tetapi kesemuanya tidak mampu berbuat apa-apa terhadap timbalan presiden parti mereka.

Beliau juga mendakwa perbincangan sindiket yang sama dibuat menggunakan bilik mesyuarat Pejabat Exco Kerajaan Negeri di SUK Selangor, Shah Alam.

Gambar perbincangan itu disiarkan di media sosial dan blognya.

“Laporan penuh beberapa minggu lepas sudah ditangan beberapa pemimpin PKR tapi semua tak mampu buat apa, ada yang nasihat saya diamkan dulu, ada yang nasihat saya terus ke SPRM.

“Lucukan konon nak kawal Madey (Tun Mahathir Mohamad) lepas jadi PM? Baru Azmin jadi MB pun tak boleh kawal,” dakwa Chegubard.- MalaysiaGazette