Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

CYBERJAYA – Naib  Presiden  Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz bersedia sekiranya Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendakwanya di mahkamah susulan  penularan videonya di media sosial baru-baru ini.

Beliau yang hadir di Menara SKMM selepas dipanggil memberi keterangan  lebih dua jam petang tadi tetap mempertahankan kenyataannya dalam video berdurasi lebih dua minit pada 14 Januari yang lalu, bahawa tiada perkataan Cina dan India di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau apa yang dikatakannya itu adalah fakta dan patut diterima oleh pihak tertentu.

“Terpulanglah kepada SKMM dan Jabatan Peguam Negara sekiranya ingin membuat pendakwaan terhadap saya. Saya mempertahankan apa yang katakan dalam video sebab ia fakta dalam perlembagaan.

“Kebanyakan yang tidak berpuas hati itu sebenarnya mereka pada saya tidak faham perlembagaan, mereka ingat perkara itu sebelum ini ada tetapi rupa-rupanya tidak ada,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ketika memberi keterangan kepada pegawai SKMM beliau turut memaklumkan  diarahkan menyerahkan sebuah telefon bimbit untuk membantu siasatan.

“Saya telah memberikan kerjasama penuh kepada proses soal siasat berkenaan, yang berlangsung dua jam lebih diiringi dua orang peguam bersama-sama saya,” katanya lagi.

Terdahulu SKMM memanggilnya memberi keterangan selepas terdapat aduan dibuat kepada suruhanjaya itu berikutan posting videonya di Facebook pada 14 Januari yang  menimbulkan kontreversi.

Mohd. Khairul Azam dalam pada itu yakin  pasukan pembelaan akan mampu mempertahankannya sekiranya isu ini dipanjangkan sehingga ke mahkamah.

“Sekiranya ada pendakwaan tidak ada masalah saya akan membela diri sebaiknya di mahkamah nanti. Kalau saya dituduh saya akan ada peguam mewakili saya nanti jadi bring it on (silakan), saya ada pasukan pertahanan yang baik,” tambahnya yang juga seorang peguam.

Mohd. Khairul juga memaklumkan turut dipanggil polis untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 10 pagi esok. 

Mohd Khairul sebelum ini juga pernah mencetuskan kontroversi apabila mempertikaikan tanglung yang digantung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Bandar Puchong 1.

Beliau kemudiannya menulis surat bantahan kepada pengetua sekolah itu. -MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Betul la pa yang peguam hebat Khairul ini katakan, British mengambil negara ini dari orang Melayu dan memulangkannya semula kepada orang2 Melayu dan Bumiputera, salah ke jika tidak tertulis berkenaan descendant kaum pendatang dalam perlembagaan negara?

  2. Amerika negara majmuk malah lebih majmuk dari Malaysia.

    Dikatakan dalam perlembagaan Amerika pun tidak tertulis pun perkataan Cina dan India di dalam Perlembagaan Persekutuan mereka, benarkah? Adakah ianya menjadi suatu kesalahan besar?

    Kepada SKMM tak usah la buang masa!

  3. Raja Permaisuri Agung tulis wassap dalam huruf jawi dikatakan rasis? Mereka gunakan tulisan cina tidak pula dikatakan rasis!

    Orang Melayu tidak menyambut hari perayaan RASIS! Ini fakta, kena diperjelaskan. Siapa RASIS sebenarnya?

Comments are closed.