Posting tentang penggantungan tugas CEO dan COO Bank Islam pada Januari lalu.

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Operasi Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), Datuk Norasni Ayob dipercayai telah melepaskan jawatannya.

Sumber memaklumkan, Norasni telah menghantar surat peletakan jawatannya semalam.

Kontrak Norasni dijangka berakhir pada 14 Februari ini.

Norasni sebelum ini didakwa tidak masuk pejabat sejak Disember tahun lalu.

Setakat semalam, belum ada makluman dibuat kepada Bursa Malaysia. Bank Islam juga tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan perkara itu.

Norasni dan Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat yang didakwa oleh Raja Shahrim dalam Facebooknya digantung kerja pada awal Januari lalu.

Bagaimanapun, Bank Islam menafikan fitnah ke atas Zukri tanpa menyebut sebarang kenyataan berhubung Norasni.

Pengerusi Bank Islam, Datuk Zamani Abdul Ghani dalam satu kenyataan berkata, kumpulan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Zukri yang akan bersara pada Jun tahun ini.

Tambahnya, Zukri akan berkhidmat sehingga akhir tempoh perkhidmatannya.

Zukri dijangka melepaskan jawatannya pada Mac ini selepas 13 tahun bersama Bank Islam. – MalaysiaGazette