Foto ABC.

SAN JOSE – Kerajaan Costa Rica akan menyiasat insiden nahas pesawat yang terhempas lalu meletup sebaik sahaja berlepas dari pusat peranginan popular di dini, kelmarin.

Menteri Keselamatan Costa Rica, Gustavo Mata menjelaskan, berdasarkan senario terkini, usaha untuk mengenal pasti mangsa akan mengambil sedikit masa.

“Jadi, kita perlu tunggu dan siasatan akan dilakukan dengan rapi untuk mengetahui sebab insiden berlaku oleh pihak berkuasa penerbangan awam,” katanya kepada Reuters

Insiden itu menyebabkan 12 mangsa terkorban termasuk lima sekeluarga dari New York.

Mangsa adalah 10 rakyat Amerika Syarikat dan dua juruterbang warga Costa Rica yang menaiki pesawat Cessna 208B Grand Caravan.

Insiden berlaku di pergunungan berhampiran pantai Punta Islita di wilayah Guanacaste, terletak kira-kira 230 kilometer di barat ibu negara Costa Rica, San Jose.

Semalam, pekerja forensik berjaya menemui beberapa mayat yang terbakar di tempat nahas dan telah dibawa ke San Jose untuk dibedah siasat.

Sementara itu, syarikat pengendali pesawat terbabit, Nature Air mengesahkan identiti mangsa, selain Steinberg sekeluarga, lima lagi penumpang yang maut ialah Thibault Astruc, Amanda Geissler, Charles Palmer, Leslie Weiss dan Sherry Wuu.

Dua juruterbang yang maut ialah Juan Manuel Retana and Emma Ramos.

Dalam pada itu, pihak berkuasa penerbangan awam Costa Rica berkata, punca kejadian masih disiasat. – Reuters