Wilfried Zaha bersorak selepas berjaya menjaringkan gol penyamaan pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Brighton awal pagi tadi.

LONDON – Pemain Wilfried Zaha membantu Crystal Palace ke tangga kesembilan menerusi gol penyamaan ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris dengan berkongsi mata selepas seri 1-1 menentang Brighton, awal pagi tadi.

Neal Maupay membantu pelawat mendahului pada minit ke-54 namun bintang Palace, Zaha menyamakan kedudukan buat Eagles menentang Seagulls dengan gol solo mengagumkan 15 minit sebelum tamat di Selhurst Park.

Palace kini memintas tetangga London, Arsenal dengan kelebihan satu mata dan Zaha bangga cara pasukannya menangani cabaran Brighton yang lebih menguasai permainan.

“Ia perlawanan besar buat kedua-dua pasukan dan saya bangga kami mampu bangkit – jika anda tidak boleh menang, jangan kalah,” kata Zaha kepada Sky Sports.

Brighton kekal di tangga ke-13, lima mata di atas zon penyingkiran dan pengurus Graham Potter gembira dengan persembahan terbaru kelab pantai selatan itu.

“Persembahan amat bagus… Anda tidak boleh mengawal permainan di gelanggang lawan lebih daripada itu,” kata Potter.

Beliau kemudiannya menambah: “Kami sedar jika ada satu sentuhan seorang pemain yang amat bagus anda boleh dihukum.

“Tugas kami adalah mengumpul mata tapi sedar pertandingan ini terlalu sengit. Kami cuba meningkat dan lihat di mana kedudukan kami”. – MalaysiaGazette