Yahaya Othman melancarkan Program Takaful Kemalangan Diri myPOLISPA dan myPENGUATKUASA di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan 13 agensi penguatkuasaan hari ini sebulat suara menolak penubuhan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia dikenali Single Border Agency (SBA).

SBA berfungsi untuk mengambil alih keseluruhan fungsi agensi kerajaan di pintu masuk negara, termasuk di pelabuhan dan lapangan terbang.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, ketetapan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan mesyuarat dengan 13 agensi itu di ibu negara pada pagi tadi.

“Pagi tadi kami telah pun bermesyuarat dengan 13 agensi penguatkuasaan ini dan kami telah pun membuat keputusan menolak sekeras-kerasnya cadangan kerajaan untuk menubuhkan Single Boarder Agency kerana sistem penyampaian yang ada pada hari ini.

“Perkhidmatan yang telah sedia ada dibuat oleh agensi yang wujud ketika ini di sempadan pada hari ini telah dijalankan dengan baik.

“Cuma kerajaan kena lihat balik dalam bentuk kemudahan-kemudahan, sistem dan sebagainya yang kadang-kadang agak lemah, agak ketinggalan dan kemudahan lemah sudah ketinggalan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis Pelancaran Program Takaful Kemalangan Diri myPOLISPA dan myPENGUATKUASA yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Tambah beliau, SBA tidak perlu diwujudkan dan kelemahan sedia ada boleh ditangani dengan meningkatkan taraf kemudahan aset dan logistik.

“Ya, kami tahu bagaimana hendak meningkatkan perkara tersebut dan sudah tentulah kami mahu kerajaan melihat secara keutamaan tetapi ini tidak.

“Maka akhirnya sistem penyampaian kami sedikit tergendala, sedikit terganggu termasuk proses membuat pasport dan sebagainya,” ujarnya. – MalaysiaGazette