Calon Pakatan Harapan PRK N.24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali meluangkan masa beramah mesra bersama seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan, Jamaluddin Abdul Majid pada program jalinan kasih sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Batu 26, Beranang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Seorang warga emas sanggup membiarkan hidupnya untuk tidak lagi melihat keindahan alam ciptaan tuhan ekoran mengalami masalah penglihatan sejak setahun lalu.

Jamaluddin Abdul, 75, redha dengan keadaan dirinya yang daif sehingga tidak mampu menanggung kos pembedahan mata selepas mengalami katarak.

Dia yang kini dijaga oleh isterinya, Norafidah Zahari, 59, hanya bergantung hidup dengan hasil jualan kuih-muih dengan pendapatan sekitar RM20 hingga RM30 sehari.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 26, Beranang di sini, Norafidah berkata, kesempitan hidupnya sebelum ini pernah mendapat perhatian daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan menerima bantuan sebanyak RM650 sebulan.

Sehingga kini bantuan itu masih lagi diterima namun, baru-baru ini anaknya cuba untuk membuat permohonan sekiranya pihak LZS dapat memberikan bantuan tambahan bagi memperbaiki rumah ibunya yang usang serta sara hidup.

Bagaimanapun katanya, permohonan itu tidak diluluskan dan  pihak LZS memberitahu tempoh bantuan itu juga sudah terlalu lama iaitu 15 tahun serta mempersoalkan tidak adakah anak-anaknya yang membantu.

Katanya, dia terpaksa berjimat menggunakan wang yang diterima daripada LZS itu yang turut digunakan untuk membeli barangan dapur dan membayar sewa rumahnya sebanyak RM500 sebulan.

Menceritakan mengenai kehidupannya, Norafidah berkata, selain mengalami masalah penglihatan, suaminya turut mengalami penyakit darah tinggi dan pernah diserang strok.

Akibat penderitaan itu pergerakannya kini terbatas dan suaminya hanya ‘menyepikan diri’ di rumah dan kurang bergaul dengan penduduk setempat.

MGF18022019_CALON PH JALINAN KASIH04 (1)
Norafidah Zahari

Norafidah memberitahu, dia mempunyai enam orang anak dan salah seorang daripadanya masih lagi bersekolah di tingkatan satu.

Lima anaknya sudah bekerja dan berumahtangga namun mereka mempunyai tanggungjawab masing-masing serta tidak selalu  menghulurkan bantuan.

“Doktor beritahu kalau nak buat pembedahan mata perbelanjaannya sebanyak RM1,000. Jadi, sekarang ini kedua-dua matanya tidak boleh melihat dan kalau nak bedah kena bayar RM2,000.

“Dia (suaminya) kata tak usahlah, mana kita ada duit nak buat bayar semua itu dan sebab itulah dia rela untuk tidak lagi melihat,” ujarnya yang menjelaskan pemeriksaan mata suaminya itu dilakukan di Hospital Serdang.

Katanya lagi, adik suaminya pernah menawarkan untuk menghulurkan bantuan bagi membiayai pembedahan mata tetapi Jamaluddin menolaknya kerana beranggapan tidak mahu menyusahkan orang lain.

Dalam pada itu, Norafidah berharap agar ada pihak terutama agensi kerajaan negeri dapat membantunya seperti dalam urusan pembayaran sewa rumah dan urusan makan dan minumnya.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali yang ditemui selepas menziarahi beberapa keluarga asnaf dalam siri jelajah kempennya berjanji akan menjadi pemudah cara untuk mendapat bantuan yang wajar sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

Katanya, berdasarkan pertemuannya, isu yang sering didengar ialah berkaitan masalah birokrasi antara jabatan kerajaan yang menguruskan bantuan kepada rakyat.

“Ada yang kita temui tak dapat bantuan mungkin kerana prosesnya yang menyebabkan jadi begitu hingga menyebabkan orang jadi muak.

“Insya Allah kalau saya diberi peluang mungkin boleh dipanggil agensi-agensi ini turun ke bawah untuk datang ke rumah-rumah bagi menunjukkan saluran bagaimana nak dapatkan bantuan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette