Banyakkan membaca al-Quran sepanjang Ramadan. Gambar hiasan

ISLAM agama rahmah dan toleransi. Membaca al-Quran dan al-Sunnah kita akan dapati sejumlah besar nas-nas yang mengarahkan umat Islam menjaga keamanan dan kerukunan hidup bermasyarakat.

Antara kerukunan yang perlu dipelihara ialah hubungan sesama anggota masyarakat. Malaysia unik dengan kepelbagaian bangsa dan agama yang membentuk kemajmukan yang kita sedang nikmati pada hari ini. Kepelbagaian ini bukanlah alasan untuk kita menindas atau membuli mana-mana orang yang tidak sekumpulan dengan kita, bahkan ia mesti diurus dengan baik agar tidak menjadi barah yang akan membunuh keamanan yang telah kita kecapi sejak sekian lama.

Antara perkara yang berbahaya kepada kerukunan ialah panggilan yang salah terhadap rakan-rakan bukan muslim. Sebahagian pendakwah memanggil bukan muslim sebagai ‘kafir’ atau lebih teruk ‘not-yet-muslim’ (masih belum muslim). Ya, kita faham panggilan tersebut merupakan doa supaya mereka memeluk agama Islam, namun di satu sudut ia menimbulkan rasa tidak selesa orang lain. Saya tidak suka dipanggil oleh rakan – rakan Kristian saya sebagai ‘not-yet-christian’ atau ‘not-yet-buddhist’ oleh rakan-rakan beragama Buddha. Saya tidak faham apa maslahah yang ingin dicapai di sebalik panggilan tersebut.

Tulisan al-Qaradhawi

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Khitābunā al-Islāmī fī ‘Asr al-‘Aulamah (Wacana Islam Dalam Era Globalisasi) menulis tentang langkah-langkah untuk memelihara kerukunan masyarakat, antaranya ialah memanggil rakan – rakan bukan muslim dengan panggilan ‘bukan muslim’, bukannya dengan gelaran ‘kafir’.

Tulis beliau (yang saya terjemahkan secara bebas):

Telah aku tegaskan lama dahulu supaya kita memanggil orang yang tidak seagama dengan kita sebagai ‘bukan muslim’, bahkan lama dahulu aku telah terbitkan kitab aku bertajuk ‘Bukan Muslim Di Tengah – Tengah Masyarakat Islam’ yang telah diterbitkan berulangkali dan diterjemahkan ke pelbagai bahasa.

Persoalan yang sama aku telah bicarakan dalam satu program mingguan ‘al-Syari’ah wa al-Hayah’ di saluran al-Jazeera. Seorang pemanggil telah menghubungi kami dan mengatakan: Penggunaan ‘bukan muslim’ merupakan sikap apologetik, bahkan petanda kekalahan moral di hadapan bukan muslim.

Aku tidak faham, bagaimana panggilan yang sopan boleh dianggap sebagai apologetik? Kita tidak apologetik dengan menyatakan kebenaran agama kita, dan semua yang tidak beriman dengan risalah Islam adalah kafir. Bahkan inilah pegangan semua orang yang beragama apa pun: Mereka berpegang agama merekalah yang benar, dan agama selainnya adalah sesat.

Namun, pegangan agama satu perkara, dan panggilan kepada orang yang berbeza agama dengan perkataan yang melukakan perasaan mereka satu perkara yang lain. Tuhan tidak pernah arahkan kita seperti itu (melukakan perasaan orang lain), bahkan dia mengarahkan kita sebaliknya. FirmanNya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran)”.

(Khitābunā al-Islāmī fī ‘Asr al-‘Aulamah, m.s. 44 & 45)

Panggilan ‘Wahai Orang-Orang Kafir’ Dalam al-Quran

Ada pendakwah yang masih lagi berkeras ingin menggunakan panggilan ‘Kafir’. Hujah mereka: al-Quran menggunakan sendiri menggunakan panggilan tersebut. Jadi mengapa tidak kita?

Benar, al-Quran ada memanggil orang – orang kafir sebagai ‘orang-orang kafir’, namun penting kita teliti suatu fakta: al-Quran menggunakan panggilan “Orang kafir” hanya pada dua ayat berikut:

1. Sūrah al-Taḥrīm, ayat ke-6: “Hai orang-orang yang kufur ingkar! Janganlah kamu menyatakan uzur (dengan meminta ampun) pada hari ini, (kerana masanya telah terlambat). Kamu hanyalah dibalas dengan balasan apa yang kamu telah kerjakan”.

2. Sūrah al-Kāfirūn, ayat pertama: Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir!”

Jika dicermati, ayat dalam Sūrah al-Taḥrīm merupakan gambaran peristiwa yang terjadi pada hari Kiamat. Ada pun ayat dalam Sūrah al-Kāfirūn pula merupakan panggilan kepada Musyrikin Mekah yang mencadangkan supaya diadakan penggiliran penyembahan Allah dan berhala – berhala secara tahunan, oleh itu surah tersebut diturunkan dengan bahasa yang keras sepadan dengan cadangan biadap mereka.

Selain daripada dua ayat di atas, kita dapati Allah SWT menggunakan panggilan yang sopan terhadap bukan Islam. Ada ayat al-Quran yang bermula dengan panggilan “Wahai Ahli Kitab”, sebanyak 6 kali. Ada juga ayat lain yang bermula dengan panggilan “Wahai manusia”, sebanyak 20 kali.

Surat – Surat Nabi SAW

Meneliti Sirah, kita akan dapati Nabi SAW meletakkan gelaran yang sopan bagi semua surat-surat yang dihantar kepada pemimpin dunia ketika itu.

Surat baginda kepada Kisra: “Dengan menyebut nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, Daripada Muhammad Pesuruh Allah kepada Kisra pemimpin (‘Aẓīm) Parsi”.

Surat baginda kepada Najasyi: “Dengan menyebut nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, Daripada Muhammad Pesuruh Allah kepada Najasyi pemimpin (‘Aẓīm) Habsyah”.

Surat baginda kepada Heraclius: “Dengan menyebut nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, Daripada Muhammad Pesuruh Allah kepada Heraclius pemimpin (‘Aẓīm) Rom”.

Perkataan Aẓīm bermaksud pemimpin, atau orang mulia. Jika menurut sifir sebahagian orang, boleh jadi ini juga dikira sebagai apologetik atau kekalahan moral kerana mengiktiraf kemuliaan bukan muslim. Namun Nabi SAW adalah sebaik – baik contoh yang telah mengajarkan kepada kita akhlak yang mulia, gunakanlah gelaran yang sesuai dan sopan dalam berinteraksi dengan orang, kerana akhirnya matlamat dakwah adalah menyeru manusia kepada Islam, bukan mencari sebab untuk berkelahi dan bergaduh.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik”.

Wallahu a’lam

Ustaz Zolkharnain Abidin, Pengerusi Biro Hal Ehwal Shariah, Parti Amanah Negara.