KUALA LUMPUR — Rakuten Trade Sdn Bhd menjangkakan dana asing akan kembali memasuki pasaran Asia di masa depan, terutama pasaran sedang pesat membangun seperti Malaysia berikutan penilaian saham yang rendah, penurunan ringgit dan peningkatan ketidaktentuan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Ketua Penyelidiknya, Kenny Yee Shen Pin berkata, indeks petunjuk utama FBM KLCI dijangka mencecah 1,630 mata berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 15.5 kali manakala ringgit mencecah sekitar RM4.20-RM4.10 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini.

“Susulan ketidaktentuan di AS dan Eropah, risiko pelabur untuk terjejas juga kian ketara. Oleh itu, kami menjangkakan pelabur akan kembali beralih ke Asia yang mereka abaikan sejak tempoh pandemik pada 2020.

“Jika dilihat sebelum ini, mereka mempunyai mudah tunai yang banyak dan berdagang dengan selesa di negara asal masing-masing. Namun, kali ini dengan risiko tinggi di pasaran sendiri, mereka tiada pilihan kecuali kembali meninjau pasaran Asia,” katanya pada sesi taklimat media secara maya mengenai Prospek Pasaran Malaysia Bagi Suku Kedua di sini, hari ini.

Pasaran kewangan global berdepan kemelut kenaikan kadar faedah selain kejatuhan Silicon Valley Bank di AS dan Credit Suisse memerlukan bantuan kewangan, telah mencetuskan kebimbangan mengenai berlakunya krisis perbankan global.

Mengulas selanjutnya, Yee berkata biarpun Malaysia bukan dalam kelompok ‘liga utama’ bursa Asia, ia sebaliknya akan tetap menikmati beberapa impak positif apabila dana asing ini hadir semula, sekali gus meningkatkan lagi jumlah mudah tunai pasaran.

Malah, berdasarkan perkembangan di AS, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka tidak cenderung untuk menaikkan kadar faedah bagi mempertahankan ringgit.

“Kami berpendapat bahawa BNM akan mengekalkan kadar dasar semalaman pada 2.75 peratus tahun ini yang membolehkan aktiviti ekonomi tempatan menumpukan usaha mewujudkan kekayaan dan menarik dana asing apabila melihat berlakunya pertumbuhan.

“Apabila dana asing itu mulai masuk, dinamik tawaran dan permintaan ringgit akan pulih semula.

“Pada masa ini, ringgit diniagakan sekitar 4.50 berbanding dolar AS dan dijangka mencecah 4.20-4.10 menjelang akhir 2023. Bayangkan impak berganda yang bakal dinikmati oleh pelabur asing,” katanya.

Yee berkata kalangan pelabur akan mula bertindak menyusun semula serta mempelbagaikan portfolio masing-masing khususnya dalam sektor kewangan Asia yang lebih stabil dari segi permodalan.

Justeru, beliau menasihatkan pelabur untuk mula bertumpu di bawah paras 1,400 terutama bagi saham-saham mewah susulan kedudukan sektor perbankan Malaysia yang lebih berdaya tahan dan diniagakan pada nilai yang munasabah.

Bagi suku kedua, FBM KLCI diunjur dalam jajaran 13.6 kali daripada lingkungan PE yang merupakan hampir 30 peratus di bawah paras purata rekodnya.

Prestasi sektor 

Dari segi prestasi mengikut sektor, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Thong Pak Leng menjangkakan pendapatan sektor perbankan akan meningkat memandangkan pertumbuhan pinjaman industri secara keseluruhan 4.0-4.5 peratus pada 2023.

“Margin faedah bersih (NIM) dijangka bertambah baik dan dalam keputusan korporat suku tahunan baru-baru ini, bank-bank telah memaparkan pendapatan yang berdaya tahan serta kukuh,” katanya.

Sektor lain yang dijangka mencatat peningkatan termasuk telekomunikasi (telco) dan pembinaan yang sebahagian besarnya tidak mendapat perhatian dalam tempoh dua tahun lepas dan meraih pertumbuhan pendapatan yang rendah.

“Kami menjangkakan telco ini akan menyaksikan tahap pertumbuhan melepasi kira-kira 20 peratus dan sesuai bagi tujuan pembelian.

“Bagi pembinaan, kami berpendapat bahawa kerajaan mungkin mahu meningkatkan lagi pertumbuhan sektor ini berdasarkan tindakan menambah perbelanjaan bagi projek pembangunan dan infrastruktur di bawah Belanjawan 2023 (sebanyak RM97 bilion berbanding RM95 bilion sebelum ini),” katanya. – BERNAMA