Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengubah pemikiran atau mentaliti mereka terhadap geran kerajaan yang diterima, kata Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail. - foto hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Dasar Keusahawanan Nasional (NEP) bakal dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad Julai depan.

SME Corporation (SME Corp.) dalam satu kenyataan berkata, sejak akhir tahun lepas Kementerian Pembangunan Usahawan telah bekerja untuk membangunkan Rangka Kerja Keusahawanan (NEF) yang merupakan asas penting dalam NEP.

Rangka kerja yang menggariskan 21 objektif strategi di bawah empat teras strategik untuk menggalakkan pembangunan keusahawanan di negara ini.

“NEF akan menjadi asas dalam merangka Dasar Keusahawanan Nasional (NEP) dengan matlamat utama untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan yang menyeluruh, inklusif dan holistik,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Perkara itu dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan (MPUPK) yang dipengerusikan Dr. Mahathir hari ini .

MPUK sebelum ini dikenali sebagai Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK).

Mesyuarat yang pertama kali dipengerusikan Perdana Menteri itu, mengesahkan lapan langkah bagi meningkatkan lagi pertumbuhan PKS untuk mencapai sasaran sumbangan sebanyak 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Antara yang dibincangkan adalah langkah-langkah untuk memperhebatkan pendigitalan oleh PKS, meningkatkan integrasi PKS ke dalam rantaian bekalan, menyokong lebih banyak PKS yang mempunyai pertumbuhan tinggi melalui insentif berkaitan, memudahkan mekanisme pembiayaan alternatif.

Meningkatkan penyertaan PKS dalam rantaian industri pelancongan, melonjakkan tahap kesediaan dan daya saing PKS untuk menerapkan model perniagaan dan teknologi innovative-disruptive-compelling dan memacu pertumbuhan, mengukuhkan dan menggalakkan eksport gerbang pembayaran tempatan dan teknologi kewangan (fintech) oleh PKS Malaysia.- MalaysiaGazette