Kelapa sawit

KUALA LUMPUR – Dedak isirung sawit (PKE atau PKC) selamat digunakan dalam bahan makanan untuk lembu tenusu kerana kajian yang menggunakan kumpulan PKE yang berbeza menunjukkan kesan positif secara konsisten terhadap prestasi
dan kesihatan lembu tenusu.

Ini menunjukkan unsur surih yang berbeza daripada kumpulan pengeluaran PKEyang berbeza tidak mempunyai kesan negatif ke atas lembu tenusu.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penggunaan PKE dalam diet lembu tenusu dirumus oleh pakar pemakanan haiwan bagi memenuhi keperluan nutrien.

PKE biasanya digunakan dalam nisbah tertentu dengan bahan makanan lain, menghasilkan tahap unsur surih dalam diet yang lebih bermanfaat dan lebih selamat untuk haiwan

”Penemuan penyelidikan ini bercanggah dengan satu artikel yang diterbitkan baru-baru ini yang menyatakan bahawa PKE mengandungi kepekatan beberapa unsur seperti besi, magnesium, dan fosforus yang melebihi paras selamat untuk kesihatan
lembu tenusu,” katanya.

Dedak isirung sawit

Selain itu, artikel itu menyebut bahawa beberapa kelompok mengandungi kepekatan aluminium, kuprum (tembaga), sulfur dan kalium dalam 90 peratus daripada had selamatnya.

Dakwaan lain di dalam artikel itu termasuk isu biodiversiti akibat penebangan hutan hujan tropika untuk pengeluaran minyak sawit.

Jelas beliau, dakwaan di dalam artikel tersebut tidak dibuktikan secara saintifik dalam percubaan pemberian makanan dan dibuat semata-mata untuk mempromosikan penggunaan bahan sisa makanan tempatan mereka yang banyak sebagai alternatif kepada PKE
dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang dihasilkan di tapak pelupusan di negara mereka.

Kesan penggunaan PKE dalam diet lembu tenusu menyumbang kepada kandungan lemak susu yang lebih tinggi seperti yang dinyatakan dalam artikel tersebut dapat memberi manfaat kepada industri tenusu di mana susu dijual berdasarkan peratus kandungan lemak susu dan boleh membantu penternak memperoleh harga susu yang lebih baik.

Oleh itu, dengan menyesuaikan makanan lembu tenusu menggunakan PKE, kandungan lemak susu yang tinggi boleh dicapai.

Menurut Ahmad Parveez, PKE telah digunakan secara meluas dalam diet lembu tenusu selama beberapa dekad dan kesan baiknya telah dilaporkan oleh ramai penyelidik.

Beliau berkata, kajian mendedahkan bahawa penggunaan PKC sehingga 15 peratus daripada diet lembu tenusu mengurangkan kos makanan dan meningkatkan kandungan protein susu tanpa menjejaskan hasil susu.

Tambahan pula, kajian ini juga merumuskan bahawa disebabkan profil asid lemaknya yang spesifik, dua hingga tiga kilogram PKC yang diberi setiap hari kepada lembu tenusu cenderung meningkatkan kandungan lemak susu untuk penghasilan
mentega yang pejal.

PKE secara amnya lebih selamat untuk diberi makan kepada lembu tenusu apabila bekalan makanan tidak dikawal dengan teliti atau apabila kualiti foraj sangat subur.

Ia lazimnya boleh diberi makan pada kadar peratusan yang lebih tinggi bagi setiap lembu tenusu setiap hari berbanding gandum, barli atau bijirin jagung tanpa menyebabkan masalah asidosis rumen kerana paras serat detergen neutral (NDF)
yang tinggi dalam PKC, jelasnya.

Menurut kajian lain, nisbah fosforus kepada kalsium yang tinggi dalam PKC menjadikannya pilihan yang baik untuk makanan lembu tenusu.

Memetik satu kajian, Ahmad Parveez menambah, PKC digunakan sebagai bahan biasa dalam catuan lembu tenusu di Jerman dan Belanda, dengan kira-kira 10 peratus manakala di Malaysia, ianya digunakan lebih daripada 50 peratus dan tiada
kesan negatif dilaporkan.

Fosforus dan kalsium, unsur surih dalam PKC memainkan peranan utama sebagai galian penting yang diperlukan untuk transformasi tenaga biokimia dalam semua sel badan selain membentuk asas mineral tulang dan gigi bagi ternakan.

”Penggunaan PKC pada 40 peratus meningkatkan lemak susu dan jumlah kandungan pepejal tanpa menjejaskan hari dan jumlah pengeluaran susu, berat badan dan keadaan badan dalam lembu tenusu kacukan. Kandungan NDF yang tinggi, antara 50 dan 65 peratus dalam PKC meningkatkan kandungan lemak dalam susu,” tambah beliau.

Malaysia tidak membenarkan penebangan hutan untuk penanaman sawit.

Menurut Ahmad Parveez, State of the World & Forests 2020 melaporkan jumlah kemusnahan hutan telah menurun secara global dan ini menunjukkan petanda positif di mana keseimbangan antara pemuliharaan biodiversiti dan penggunaan atau
pembangunan hutan mampan memang wujud.

Berdasarkan perspektif mengenai komitmen Malaysia termasuk Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), penurunan kemusnahan hutan primer di Malaysia selama empat tahun berturut-turut (dari 2017-2020) mungkin telah menyumbang ke
arah aliran menurun ini seperti yang dilaporkan oleh Global Forest Watch, 2021, katanya. – MalaysiaGazette