Anugerah Juara Lagu 33 akan berlangsung pada malam ini membariskan finalis hebat seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini dan Misha Omar.

KUALA LUMPUR – Bahang Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33) semakin terasa apabila 12 lagu bakal berentap di pentas final malam ini.

Finalis yang mencuri perhatian pasti terarah kepada Hael Husaini apabila tiga lagu ciptaannya iaitu Haram, Hajat dan Nisan Cinta akan dipertandingkan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Namun ramalan trofi AJL33 menjadi persaingan sengit antara lagu Sampai Bila (Misha Omar), Semakin (Siti Sarah) dan Tak Pernah Hilang (Amylea dan Kaer).

Turut bertanding Bunga (Ara Johari), Luluh (Khai Bahar), DiMatamu (Sufian Suhaimi), Kau Pun Sama (Syamel), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli ft Aman Ra), Tak Pernah Hilang (Amylea dan Kaer), Hajat (Hael Husaini), Haram (Hael Husaini & Dayang Nurfaizah) dan Bunga (Altimet).

Namun Altimet telah mengambil keputusan tidak akan beraksi menyanyikan lagu Bunga kerana dia mengumumkan persaraan secara rasmi daripada bergelar penyanyi sejak November tahun lalu.

Difahamkan kumpulan Defam dikatakan bakal menyanyikan lagu Bunga itu.

Sementara itu, anugerah Vokal Terbaik turut menjadi tumpuan apabila menampilkan beberapa penyanyi ‘senior’ seperti Misha, Siti Sarah dan Jaclyn Victor yang dijangka bakal memberi saingan sengit kepada penyanyi baru.

Dalam pada itu, AJL33 masih mengekalkan gandingan Sherry Al Hadad dan Alif Satar sebagai pengacara selain turut dimeriahkan lagi dengan persembahan kumpulan Search selain artis yang digelar ‘budak baru nak up’ seperti Sarah Suhairi, Ismail Izzani dan Nabila Razali.

Selain di TV3 bermula pukul 9 malam,  AJL33 turut boleh ditonton di YouTube TV9Malaysia, aplikasi Hot FM, media sosial Instagram Senang Terhibur dan di laman web atau aplikasi tonton. – MalaysiaGazette