Zukri
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat.

KUALA LUMPUR- Lembaga Tabung Haji menjelaskan setiap deposit yang diterima oleh pendeposit dikira sebagai liabiliti kepada entiti itu dan bukannya aset seperti mana yang dianggap oleh banyak pihak.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, berdasarkan penyata kewangan 2017, liabiliti yang ditanggung oleh Tabung Haji adalah RM74.4 bilion.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM70 bilion daripada deposit penyimpan, RM3.3 bilion lagi adalah peruntukan hibah dan baki kira-kira RM888 juta adalah hutang dan tanggungan agensi tersebut.

Dengan itu, aset sebanyak RM70.3 bilion pada 2017 jelas menunjukkan ia kurang RM4.1 bilion berbanding liabiliti agensi tersebut iaitu RM74.4 bilion.

“Apabila menteri mengumumkan Tabung Haji memiliki liabiliti melebihi aset, ada pihak yang membuka laman web kami dan mengatakan penyata kewangan tersebut adalah seimbang (dan kenyataan yang dibuat menteri adalah pembohongan).

“Ingin saya jelaskan bahawa mengikut perspektif Tabung Haji, deposit daripada penyimpan adalah dikira sebagai liabiliti, sama seperti yang berlaku kepada akaun simpanan atau akaun semasa oleh bank-bank.

“Deposit bukan aset kami kerana pendeposit mempunyai hak sepenuhnya untuk mengeluarkan semula seberapa banyak yang mereka mahu pada bila-bila masa yang mereka mahu.

“Ini yang ramai tidak faham,” katanya semasa taklimat media di sini hari ini.

Disebabkan itu, di bawah Seksyen 22 (3) (a) Akta Tabung Haji 1995, ia sepatutnya tidak layak untuk membayar hibah pada 1997 kerana bertentangan dengan syarat pembayaran iaitu mempunyai aset melebihi liabiliti serta merekodkan keuntungan yang boleh diagihkan.

Dalam pada itu, Zukri mengesahkan Tabung Haji tidak mengalami krisis hilang keyakinan pendeposit akibat skandal penyelewengan kewangan syarikat tersebut.

Deposit Tabung Haji menunjukkan sebanyak RM1 bilion kepada RM74.5 bilion pada 2018 berbanding RM73.56 bilion tahun sebelumnya.

Malah, pada Disember iaitu bulan yang mana skandal Tabung Haji didedahkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof, Tabung Haji merekodkan 21,500 akaun baharu.

“Transaksi deposit dan pengeluaran berlaku pada setiap hari.

“Jika anda tanya ada atau tidak pengeluaran sebanyak RM10 juta, saya boleh mengaku memang ada kerana pendeposit ada hak untuk mengeluarkan atau mendeposit wang setiap hari.

“Tetapi anda boleh bandingkan jumlah keseluruhan deposit pada 2018 yang naik RM1 bilion berbanding pada 2017.

“Saya tidak nampak ada sebarang isu hilang keyakinan pendeposit di sini.  Pada Disember iaitu bulan di mana perkara ini didedahkan, kami merekodkan jumlah pembukaan akaun baharu yang signifikan.

“Saya berharap trend ini berterusan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette