PEKAN – Dua pekerja kontrak mengutip sawit di sebuah ladang di Temerloh direman empat hari bermula hari ini hingga 1 April bagi membantu siastaan kes curi motosikal dalam kawasan Masjid Sultan Ahmad Shah, Kerdau, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mohd Azhar Mohd Yusoff berkata, dalam kejadian kira-kira 8.17 malam itu, suspek berjaya melarikan sebuah motosikal jenis Honda EX5 ketika jemaah lain sedang menunaikan solat.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki berbangsa Melayu berumur 19 dan 24 tahun itu berjaya ditahan bersama motosikal curi tersebut hasil bantuan pasukan Polis Bantuan Ladang Sime Darby.

“Pada jam 10.30 malam, Polis Bantuan Ladang Sime Darby yang bertugas di pos pengawal ladang tersebut telah melihat rakaman video kejadian yang tular di Facebook.

“Suspek yang merupakan pekerja kontrak mengutip buah di ladang berkenaan, dilihat menunggang motosikal curi tersebut melalui pos pengawal polis bantuan untuk masuk ke dala kawasan ladang berkenaan yang terletak lebih kurang 21 km dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohd Azhar, hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes narkotik.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum tujuh tahun serta boleh dikenakan denda.

Semalam, satu rakaman video berdurasi 1 minit 51 saat yang memaparkan kejadian jenayah berkenaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid tersebut dan telah tular di media sosial.- MalaysiaGazette