Suspek dakwa mengalami kecederaan ringan akibat kejadian.

GEORGE TOWN – Gara-gara didakwa bersikap biadab, seorang pemandu e-hailing cedera dipukul pelanggannya sendiri dalam kejadian di hadapan sebuah pusat beli belah, Jalan Datuk Keramat di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, semakan mendapati kejadian berlaku 6.20 pagi ketika mangsa berusia 30-an itu datang untuk mengambil suspek yang juga pelanggan  e-hailing.

“Berdasarkan laporan dibuat mangsa, dia mendakwa terima tempahan untuk mengambil suspek bersama dua lagi wanita di hadapan kompleks tersebut.

“Bagaimanapun, ketika lelaki itu membuka pintu belakang kereta jenis Perodua Ativa yang dipandu mangsa, dia mendapati suspek minum minuman keras susulan bau alkohol sangat kuat dari arahnya.

“Susulan itu, mangsa memberitahu dia akan membatalkan pesanan sekiranya suspek masih enggan menaiki kenderaan tersebut sebelum tiba-tiba suspek bertindak memukul mangsa,” katanya hari ini.

Menurut Razlam, bagi mempertahankan diri, mangsa menyembur serbuk lada (pepper spray) sebelum tampil membuat laporan.

“Mangsa turut mendakwa mengalamai kecederaan ringan pada bahu dan leher akibat insiden tersebut. Kita masih mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette