JOHOR BAHRU – Seorang buruh direman tiga hari bagi membantu siasatan kes memuat naik kenyataan jelik terhadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Isnin lalu.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 43 tahun itu yang dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah, Noor Hidayah Manaf di Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini hingga 20 Jan.

Perintah reman itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dalam satu kenyataan, berkata suspek ditahan di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada pukul 9.45 malam tadi.

Penahanannya dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul susulan satu laporan polis oleh orang awam di Johor pada Isnin, berhubung kenyataan jelik terhadap Sultan Ibrahim menggunakan akaun Facebook bernama Mohd Ashraff.

Wan Ahmad Najmuddin berkata polis menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan negara.

Katanya polis turut merampas sebuah telefon bimbit bersama sekeping kad sim yang dipercayai digunakan suspek untuk membuat kenyataan berkenaan.

Bernama difahamkan suspek yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak itu berasal dari Taiping, Perak namun telah lama menetap di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Wan Ahmad Najmuddin ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Ekosistem Kondusif Sektor Awam Polis Diraja Malaysia Kontinjen Johor, berkata di sebalik tindakan tegas yang diambil pihak berkuasa, segelintir individu terus berdegil mengeluarkan kenyataan menghina dan mengaibkan sesetengah pihak termasuk terhadap raja.

— BERNAMA