KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menjelaskan kesemua dokumen salinan asal (CTC) yang dikeluarkan melalui sistem dalam talian adalah sahih dan diperakui sama seperti dokumen yang disimpan di dalam daftar SSM.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, suruhanjaya itu berkata pembangunan sistem tersebut juga adalah teratur dan mengikut perundangan yang ditadbir SSM.

“Sehubungan itu, SSM menegaskan salinan dokumen-dokumen yang digunakan oleh pihak awam adalah sah di sisi undang-undang, dan tiada asas untuk diragui nilai kesahihannya.

“SSM menafikan sekeras-kerasnya laporan sebuah portal berita yang mendakwa bahawa kesahihan CTC dalam talian diragui,” menurut SSM dalam kenyataan itu.

SSM juga memohon agar mana-mana pihak termasuk pengamal media tidak membuat andaian dan spekulasi mengenai isu tersebut.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai produk-produk SSM, orang ramai diminta menghubungi talian 03-77214000.

Semalam sebuah portal berita (Malaysiakini) yang memetik sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa dokumen yang disahkan sebagai CTC daripada SSM mungkin diragui kerana sistemnya dipersoalkan. – MalaysiaGazette