Dominic Lau Hoe Chai

GEORGE TOWN – Spekulasi pencalonan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai akhirnya terjawab.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengesahkan Dominic Lau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas berkata:  Adalah dimaklumkan bahawa Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau merupakan calon PN bagi kerusi N38 Bayan Lepas, Pulau Pinang.

“Pencalonan itu dipersetujui oleh Majlis Presiden PN,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, nama Dominic Lau, 56, dicalonkan bagi kerusi Machang Bubuk berdasarkan satu senarai calon terkini yang dikongsi kepada media menerusi kumpulan WhatsApp Pas Pulau Pinang.

Manakala Setiausaha Pas negeri, Iszuree Ibrahim dinamakan sebagai calon DUN Bayan Lepas.

Semalam, PN Pulau Pinang mengumumkan 39 calon PRN15 untuk dipertaruhkan di 40 kerusi DUN negeri.

Bagaimanapun, kerusi bagi DUN Bayan Lepas tidak diumumkan dan dalam senarai yang diedarkan kepada media, nama Dominic dicalonkan bagi kerusi tersebut.

Selain itu, beberapa jam sebelum majlis pengumuman calon semalam, ahli akar umbi Pas Bayan Lepas mengadakan perhimpunan aman membantah pencalonan Dominic di DUN Bayan Lepas. – MalaysiaGazette