Dr. Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Dr. Maszlee Malik mendakwa Menteri Pendidikan, Senator Mohd Radzi Md. Jidin masih tidak menjawab tujuh soalan dibangkitkan beliau berhubung nasib pemegang taruh terbesar dalam sektor itu.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, beliau telah memperincikan soalan penting berkenaan pada 8 November dan diulang sekali lagi 16 November lalu ketika perbahasan Belanjawan 2021.

Namun, katanya, ketika membacakan teks penggulungan perbahasan beberapa hari lalu, Menteri Pendidikan tidak mengendahkan soalan diutarakannya.

Soalan itu, membabitkan nasib pemegang taruh terbesar dalam sektor pendidikan seperti anak-anak dari keluarga miskin, pekerja kantin dan pengusaha bas sekolah.

“Kepedulian terhadap mereka amat diperlukan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Dr. Maszlee mendakwa, Menteri Pendidikan juga tidak menjawab bagaimana kementeriannya akan mengatasi isu lebih dari 600,000 anak miskin dan keluarga B40 tidak mendapat bekalan makanan sihat Rancangan Makanan Tambahan (RMT) akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, Menteri Pendidikan gagal menjawab isu pengusaha kantin serta lebih 70,000 pekerjanya yang terjejas akibat penutupan sekolah.

“Apakah 70,000 pekerja kantin ini tidak penting?,” soal beliau.

Bekas Menteri Pendidikan itu juga berkata, Mohd Radzi tidak menjawab isu guru duka lara serta status pergerakan guru yang telah lama tersekat akibat PKP.

Bahkan, Menteri Kanan itu hanya menjawab akan menyediakan kira-kira 150,000 komputer riba untuk kegunaan murid di 500 sekolah ketika mengulas isu ketiadaan peranti oleh hampir 37 peratus pelajar di seluruh negara.

“Bagaimana pula dengan lebih dari 1.7 juta murid lain di 9,723 sekolah yang lain?

“Rakyat juga tidak dapat melihat dengan jelas pelan jangkamasa panjang pendidikan anak-anak pasca pandemik Covid-19 terutama bagi golongan ‘lost generation’ yang telah saya dan juga rakan Ahli Parlimen lain suarakan.

“Saya bangkitkan isu ini kerana akhirnya jelas Kementerian Pendidikan tiada hala tuju dalam menangani isu Covid-19,” kata beliau.

Beliau turut meminta Menteri Pendidikan menjawab pertanyaannya, adakah kementerian itu telah melaksanakan libat urus dengan pemegang taruh seperti ibu bapa dan kesatuan guru sebelum memutuskan sebarang keputusan penting yang melibatkan masa depan anak bangsa.

“Saya telah menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama bagi sama-sama mencari jalan penyelesaian. Saya juga mencadangkan untuk didengar pendapat ibu bapa, kesatuan guru dan pemegang taruh yang lain.

“Saya yakin kita boleh mencari titik tengah yang boleh mengimbangi isu keselamatan dan pendidikan sekiranya kita berlapang dada dan berani membuka ruang kerjasama tanpa mengira perbezaan politik.

“Saya yakin ramai pihak di luar sana yang mahu tampil membantu,” katanya.

Beliau menjelaskan, sehingga hari ini, tiada satu inisiatif pun dalam belanjawan tersebut yang memberi impak kepada guru, murid mahupun ibu bapa.

Bahkan, banyak peniaga terlibat dalam ekosistem pendidikan seperti peniaga kantin dan pengusaha bas tidak mendapat sebarang manfaat dalam belanjawan itu.

“Maaf jika saya katakan, belanjawan yang dibentangkan ini bukan Belanjawan Covid-19.

“Nasib dan masa depan pendidikan masih kabur dan tidak menentu. Semua isi ini perlu dipandang serius dan diambil peduli.

“Ini penting bagi memudahkan Ahli Parlimen yang lain membuat keputusan untuk menyokong atau tidak ketika pengundian kelak,” katanya. – MalaysiaGazette