Tiga daripada empat buruh binaan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang pagi tadi atas dakwaan membunuh semasa terlibat dalam pergaduhan di Cheras pada 2 Ogos lalu.

KAJANG – Dua beradik antara empat lelaki telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang pagi tadi atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di tepi jalan dua minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh iaitu Gian Tin Siong, 48, dan adiknya Gian Then Seng, 46, serta dua lagi lelaki Tan Kok Leong, 53, dan Ngh Wai Seng, 45 kerana kes itu di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Keempat-empat tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan telah dibawa ke mahkamah dengan baju lokap dan tangan bergari serta dikawal ketat oleh polis.

Kertas pertuduhan keempat-empat tertuduh itu dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli

Mengikut fakta kes pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa membunuh Lim Chau Ching, 36, di tepi jalan di Jalan Puteri Satu, Cheras di sini pukul 6.45 petang dalam kejadian 2 Ogos yang lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan mereka.

Tiada sebarang jaminan dibenarkan ke atas keempat-empat tertuduh itu dan mahkamah kemudian menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, dalam prosiding sama keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang lagi lelaki Yap Siew Kin, 49, pada tempat, waktu dan tarikh sama yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan pergaduhan sekumpulan lelaki yang berakhir dengan tragedi apabila seorang lelaki maut dipukul dan ditikam dengan pisau di tepi jalan kawasan Taman Taragon Puteri, Batu 9 Cheras.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki kira-kira pukul 6.45 petang.

Hasil soal siasat ke atas suspek yang ditahan mendapati pergaduhan itu berlaku berpunca daripada masalah hutang.- MalaysiaGazette