Seorang tukang gunting ditahan semalam, selepas dipercayai merogol seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun di sebuah kedai di sini.
Gambar fail

KUALA LUMPUR – Dua remaja lelaki masing-masing berumur 15 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini, atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dipercayai anak seorang penggiat seni tanah air.

Kedua-dua remaja lelaki itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Iriane Isabelo yang dijalankan secara tertutup kerana melibatkan kes juvana. Hanya keluarga tertuduh dibenarkan berada di dalam mahkamah.

Mereka masing-masing didakwa atas pertuduhan merogol remaja itu di dewan terbiar Kota Warisan Selayang di sini dan di tandas perempuan di pusat beli-belah di Selayang pada Julai dan 20 Sept 2018.

Kedua-dua remaja lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya media, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memaklumkan bahawa pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap seorang.

Katanya kedua-dua remaja lelaki itu yang tidak diwakili peguam membuat rayuan melalui keluarga mereka memohon jumlah jaminan tersebut dikurangkan dengan alasan remaja terbabit masih bersekolah dan keluarga mereka mempunyai pendapatan yang tidak menentu.

Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM2,500 setiap seorang dan menetapkan 21 Nov untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA