Lambang kereta seorang hakim Mahkamah Persekutuan telah dicabut selain dicalar dengan bend tajam baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sebuah kereta rasmi milik seorang hakim Mahkamah Persekutuan didakwa telah digores dengan benda tajam selain nombor pendaftaran serta lambangnya dicabut di Taman Koperasi Polis Fasa Dua, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang warga tempatan sekitar jam 8.50 malam ketika kereta itu di parkir di tepi jalan.

Katanya, pengadu hanya menyedari kejadian itu selepas selesai menunaikan solat farhu Isyak di masjid berdekatan lokasi tersebut.

“Bertindak melalui aduan pengadu, satu pasukan polis cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat (IPD Sentul) telah membuat serbuan berdasarkan hasil risikan yang dijalankan.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya tahan dua lelaki tempatan yang juga adik beradik.

“Kedua-dua mereka berusia 15 tahun dan merupakan pelajar tingkatan 3 dari Batu Caves. Susulan dari tangkapan yang dilakukan, pihak polis turut merampas dua pasang pakaian dan lambang hakim yang digunakan semasa kejadian tersebut.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek bertindak menconteng permukaan kereta tersebut menggunakan sebiji batu dan mengaku dengan sengaja mematahkan lambang hakim di kereta tersebut selepas pulang bermain bola di padang berdekatan,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

Menurtu Ahmad Sukarno, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 kanun keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyal maklumat berkenaan dengan sebarang salahlaku jenayah diminta menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222. -MalaysiaGazette