Iskandar Mirza Mohd Mustafa.

KUALA LUMPUR – Pemain profesional e-sukan Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Mustafa menganggap masih terlalu awal untuk mengangkat bendera putih meskipun sedar ketika ini berada di tangga tercorot kedudukan Kejohanan eMalaysian Football League (MFL).

Dia yang dikenali sebagai Ismirza mewakili pasukan Selangor dalam kejohanan itu masih gagal menemui rentak kemenangan dalam enam perlawanan secara keseluruhan setakat ini apabila hanya mengumpul satu mata sahaja.

Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun ini menyifatkan peluang masih lagi ada untuknya cuba mengejar mata bagi memperbaiki kedudukan terbaik dan perlu melakukan strategi yang lebih baik untuk bangkit dalam baki 16 perlawanan lagi.

“Sejujurnya barisan pemain yang saya ada untuk perlawanan ini tidaklah sekuat dengan pesaing-pesaing yang lain, jadi memang sukar sikit untuk saya mencabar mereka.

“Saya kena lebihkan latihan dan kena cuba buat percaturan yang lebih berbeza, tetapi saya percaya sesuatu akan berubah dalam perlawanan seterusnya ini untuk saya bangkit balik.

“Yang penting, saya memang tak akan menyerah kalah walau macam mana sekalipun sebab masih banyak lagi perlawanan dan saya akan pastikan kemenangan menjadi milik Selangor”, katanya.

Ketika ini, kedudukan teratas Luqman Haziq Hajiman yang mewakili pasukan Johor Darul Ta’zim telah berjaya dirampas oleh pemain muda berusia 17 tahun, Muhammad Muzaffar Zuhair Mustaffa yang dikenali sebagai Chamack dengan 15 mata secara keseluruhan manakala tempat kedua dihuni oleh pasukan PDRM yang diwakili oleh Ahmad Shahrin Shaharudin (Ayen).

Chamack walaubagaimanapun anggap kedudukannya masih belum selesa kerana jurang mata yang terlalu dekat dengan dua pemain lain di bawahnya ketika ini.

Dia perlu mengekalkan kemenangan berterusan pada malam ini seandainya ingin terus kekal berada di takhta liga.

“Saya kena keluar dari zon selesa kalau nak kekal di tempat teratas kerana apa saja boleh berlaku dalam perlawanan akan datang.

“Contoh macam Ayen dan Luqman, saya kena pastikan saya tidak boleh tewas dengan mereka berdua untuk sekurang-kurangnya dapat satu mata kerana mereka bila-bila masa sahaja boleh kejar saya balik.

“Saya tidak akan kekal dengan strategi sama dan saya ubah corak permainan saya setiap kali menentang lawan yang berbeza”, jelasnya. – MalaysiaGazette