KUANTAN — Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menitikberatkan aspek perlindungan alam sekitar, hutan dan hidupan liar melalui pelaksanaan Pelan Pengurusan Hidupan Liar (WMP).

Dalam memastikan usaha itu tercapai, kira-kira 27 laluan kotak pembetung (Wildlife Culvert Box/ WBC) dibina sepanjang 665 kilometer jajaran ECRL, untuk kegunaan lintasan haiwan liar.

Ketua Bahagian Alam Sekitar Malaysia Rail Link (MRL), Norhasrul Abu Hassan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 11 WBC terletak di Hutan Simpan Kemasul di Pahang.

Katanya, pihak ECRL juga telah menyediakan ratusan “perangkap kamera” di sekitar hutan simpan itu bagi mengenal pasti jenis haiwan dan laluan mereka.

Jelas beliau, antara hidupan liar yang dikenal pasti termasuk gajah, tapir serta beruang matahari.

Kerja-kerja pembinaan tapak laluan hidupan liar pada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan usaha pemuliharaan hidupan liar di Kamasul, Pahang. Foto MUHD NA’IM, 06 MAC 2023.

“Di Hutan Simpan Kemasul, pembinaan WBC melibatkan kurang daripada 50 hektar daripada keluasan keseluruhan 21,900 hektar keluasannya.

“WBC di Kemasul mempunyai ketinggian 5.3m dan lebar 6m. Ia sesuai untuk dilalui oleh kumpulan gajah dewasa, dengan mengambil kira ketinggian ruang kepala untuk haiwan itu.

“Peruntukan asal kami menggunakan kira-kira 2,000 hektar tanah hutan untuk pembinaan jajaran itu.

“Bagaimanapun kami berjaya mengurangkan penggunaan tanah hutan sebanyak 90 peratus iaitu hanya melibatkan 276 hektar melalui pembinaan lebih 50 terowong sepanjang 61 kilometer dan pengubahsuaian jajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan WBC di Kemasul bersama pemberita pada Isnin lalu.

Ketua Bahagian Alam Sekitar Malaysia Rail Link, Norhasrul Abu Hassan bercakap kepada media selepas meninjau Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan usaha pemuliharaan hidupan liar di Kuantan, Pahang. Foto MUHD NA’IM, 06 MAC 2023

Tambah Norhasrul, panjang WBC di Kemasul adalah antara 15 hingga 75 meter dan ia berbeza di tempat lain dengan mengambil kira topografi dan saiz hidupan liar di kawasan itu.

Menurut beliau, lintasan haiwan liar di Kemasul dijangka siap pada hujung 2023.

Beliau berkata, pelan itu juga akan memastikan semua pembangunan sebelum, semasa dan selepas pembinaan ECRL dilakukan mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perhutanan 1984.

Untuk rekod, WMP dirangka menerusi kerjasama antara kontraktor utama projek China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan). 

CCC-ECRL telah memperuntukkan geran lebih RM9 juta kepada Perhilitan untuk menjalankan kajian hidupan liar, pengawasan dan mitigasi konflik.

Projek ECRL yang merentasi Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga ke Lembah Klang itu dijangka siap pada Disember 2026 dan akan beroperasi pada Januari 2027.- MalaysiaGazette