Temubual bersama Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Ibarat sirih pulang ke gagang, bekas Penolong Pengarah Kanan Masjid Negara, Ehsan Mohd. Hosni kini kembali semula ke masjid itu sebagai Imam Besar.

Perlantikan Ehsan, 48, berkuatkuasa 30 April lalu dan beliau sebelum ini merupakan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan selama setahun sebulan.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pengurusan tertinggi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam di atas perlantikan ini.

“Saya menganggap ia sebagai amanah yang besar kepada negara,” katanya yang ditemui MalaysiaGazette di sini malam ini.

Sementara itu, Ehsan yang merupakan lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Al-Quran dan Qiraat memulakan perkhidmatan di JAKIM apabila ditempatkan di Darul Quran pada tahun 1999 selama sembilan tahun.

Selepas itu, beliau dinaikkan pangkat pada Mei 2008 sebagai Penolong Pengarah Kanan, Masjid Negara selama tujuh tahun sebelum bertukar ke Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin.

Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan pada 15 Mac tahun lalu selama setahun sebulan. – MalaysiaGazette