Datuk Hans Isaac

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Eizlan Yusof, pelakon dan juga Ahli Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), akan mengambil tindakan saman ke atas Datuk Hans Isaac.

Ia susulan dakwaan Eizlan terlibat dalam penyalahgunaan kuasa melibatkan syarikat produksi Excellent Pictures Sdn. Bhd.

“Saya menzahirkan kekecewaan atas tuduhan melulu dan tidak berasas yang dilontarkan oleh Dato’ Hans Isaac, mantan Pengerusi Finas yang telah mencemarkan nama, imej dan reputasi saya kononnya ada penglibatan saya dalam penyalahgunaan kuasa melibatkan syarikat produksi Excellent Pictures Sdn. Bhd.

“Untuk makluman, syarikat tersebut tiada sebarang kaitan dengan saya, sama ada sebagai pengarah mahupun pemegang sahamnya. Syarikat tersebut dikatakan ada menerima geran Dana Kandungan Digital (DKD) daripada pihak Finas,” katanya menerusi kenyataan.

Eizlan berkata, tuduhan tersebut dibuat Hans pada 16 November lalu melalui kumpulan WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang mempunyai 200 orang ahli.

Selain menafikannya, Ezlan menyifatkan tuduhan itu mencalarkan imej dan reputasinya, selain memgaku tertekan.

“Ini juga memberi kesan secara langsung kepada karier dan perniagaan saya, perkara ini tidak seharusnya berlaku.

“Imej dan reputasi saya telah terkesan akibat dusta tersebut, khasnya saya selaku Ahli Perbadanan Finas dan kredibiliti saya selaku penggiat industri kreatif yang telah berkecimpung selama lebih daripada 20 tahun serta dikenali masyarakat dan industri perfileman negara,” tambahnya.

Eizlan memaklumkan telah melantik peguamcara menerusi Tetuan Shaharudinali Azfarazmi & Co dan tindakan guaman.-MalaysiaGazette