Rosnazirah Mohd Naim diculik oleh sekumpulan lelaki di rumahnya di Tumpat, pada 13 Sept lepas.

KOTA BHARU – Seorang ejen jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim yang diculik oleh sekumpulan lelaki di rumahnya di Tumpat, pada 13 Sept lepas berada dalam keadaan baik, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Beliau berkata mangsa kini berada di Kuala Lumpur dan akan dibawa pulang dalam masa terdekat.

“Tiada sebarang bayaran dibuat sepanjang kehilangannya dan saya turut berterima kasih kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang bekerja keras untuk kes ini.

“Terima kasih juga kepada masyarakat kerana memahami isu ini dengan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh merencatkan siasatan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mangsa berusia 36 tahun itu telah diselamatkan melalui kerjasama dan perkongsian maklumat dan perisikan antara PDRM dengan Polis Diraja Thailand yang berjaya mengesan lokasi keberadaan mangsa di negara itu.

Katanya, tujuh lelaki tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes berkenaan dan mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961.

Turut dirampas sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk menculik mangsa.

Dalam kejadian 13 Sept lepas, mangsa diculik oleh beberapa lelaki dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada 5.10 petang.

Mangsa disyaki dilarikan ke negara jiran melalui pangkalan haram di Kuala Jambu, Tumpat ekoran penemuan kereta yang digunakan suspek.

— BERNAMA