Ejen Ali adalah antara animasi tempatan yang diwakili Primeworks Distribution boleh didapati di Amazon Prime dan boleh dilayari di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Ireland, Australia dan New Zealand.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Enam judul animasi Malaysia berjaya menembusi Amazon Prime melalui perjanjian yang termeterai antara anak syarikat Primeworks Distribution iaitu Primeworks Studios dan Janson Media.

Ejen Ali adalah antara animasi tempatan yang diwakili Primeworks Distribution boleh didapati di Amazon Prime dan boleh dilayari di Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Ireland, Australia dan New Zealand.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar, animasi yang lain adalah Soccer Bugs, Cingkus Blues, Saladin, Knowsy Nina Wants To Know dan Super Tots.

“Pembabitan dalam menerbitkan Ejen Ali memberikan satu pengalaman yang bermakna selaku penerbit bersama. Kami lebih memahami kesukaran dan pentingnya komitmen yang tinggi dalam menghasilkan sesebuah siri animasi yang bermutu tinggi.

“Kami berbesar hati apabila kerjasama dengan negara luar dapat dicapai kerana peluang seperti ini adalah sangat penting bukan sahaja daripada segi keuntungan pelaburan kewangan kepada industri animasi tetapi satu pengiktirafan dunia terhadap kualiti serta penceritaan animasi Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu Penerbit Eksekutif, 3rd Rock Creations, Kar Hooi Tan menyifatkan pemeteraian perjanjian di kala pandemik Covid-19 sebagai tepat pada masanya kerana ramai orang meluangkan masa di rumah.

“Kami berbangga hasil karya animasi mendapat tempat di platform seperti Amazon Prime. Rasa keterujaan lebih tinggi apabila mengetahui hasil kerja keras dapat ditonton seluruh dunia pada waktu yang tepat, penonton pula sentiasa mencari program untuk ditonton.

“Usaha dilakukan Primeworks Distribution sebagai pengedar yang mewakili syarikat kecil seperti kami adalah sangat penting supaya dapat memberi tumpuan terhadap kerja produksi. Kami beruntung kerana dapat meneruskan kembali perjanjian kerjasama dalam waktu pandemik yang sukar ini,” tambahnya.-MalaysiaGazette