Salleh Said Keruak
KUALA KANGSAR – Ekspresi Negaraku merupakan program yang mempamerkan kesatuan dan kesepaduan sesama rakyat pelbagai kaum di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata penglibatan segenap lapisan rakyat Malaysia penting dalam menghidupkan semangat &# 39;Negaraku’ yang cuba ditonjolkan menerusi penganjuran program itu.

“Saya amat gembira atas sambutan yang telah diberikan oleh masyarakat di negeri ini pada program Ekspresi Negaraku yang ketiga hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri program Ekspresi Negaraku di sini.

Program tersebut dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri Dataran Pavilion, di sini seawal 6.15 pagi untuk menyertai pelbagai aktiviti bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat antaranya Larian Bendera Negaraku, senamrobik, gerai-gerai pameran dan barisan trak makanan.

Dalam pada itu, Salleh berkata program itu akan diperluaskan ke negeri lain dengan menggunakan intipati yang sama termasuk memaparkan kejayaan-kejayaan tuan rumah untuk pengetahuan masyarakat umum.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui kebanyakkannya menyifatkan program berkenaan dapat memberikan inspirasi kecintaan kepada negara.

Seorang pelatih GiatMara dari Gerik, Aishah Ahmad, 25, berkata program itu sangat bermanfaat dalam memupuk semangat cintakan negara.

“Program ini juga memberi peluang kepada anak muda untuk menghayati semangat cintakan negara selain memberi banyak ilmu melalui pelbagai pameran oleh agensi kerajaan dan swasta,” katanya.

Seorang pelajar kolej swasta, Aqib Azarian Nazuran, 24, dari Selangor berkata program itu sangat berfaedah dan memberikan impak kepada diri seseorang.

Bagi penduduk Kuala Kangsar, Lim Ah Toh, 30, beliau yakin program itu mampu memberi impak dalam menyedarkan generasi betapa amannya negara ini.

“Saya melihat inisiatif kerajaan mengadakan program ini amat berfaedah kepada rakyat yang cintakan negara,” katanya.

— BERNAMA