DUBAI- Syarikat penerbangan, Emirates yang baru sahaja melakukan pembuangan pekerja secara besar-besaran dua bulan lalu, kini merancang untuk membuang lagi sebahagian juruterbang dan anak kapalnya minggu ini.

Perkara tersebut disahkan oleh jurucakap syarikat penerbangan tersebut kepada Khaleej Times.

Jelasnya, pembuangan pekerja pusingan terbaharu itu bagi mengelakkan pertindihan kerja di antara juruterbang serta anak kapal sedia ada berikutan banyak pesawat yang tidak beroperasi akibat pandemik Covid-19.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu jumlah pekerja yang akan terjejas.

Syarikat penerbangan itu memiliki 4,300 juruterbang dan hampir 22,000 anak kapal boleh mengecilkan jumlah petugas sehingga hampir satu pertiga daripada saiz asal sebelum pandemik berlaku.

“Walaupun kita telah memulakan operasi secara perlahan-lahan namun keadaan kami masih jauh lebih lemah berbanding sebelumnya dan ia akan mengambil masa yang panjang untuk kami kembali pulih semula seperti sebelum berlakunya wabak Covid-19,” kata jurucakap berkenaan.

Tambahnya, syarikat turut melakukan pengurangan kos dan perbelanjaan berhemah bagi mengimbangi impak tersebut.- Agensi