KUALA LUMPUR – Kawasan sekitar Bukit Jalil dijangka sesak teruk esok sempena perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu (TFC) yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pukul 9 malam.

Selain itu, terdapat 3 lagi acara besar berlangsung di sekitar perkarangan SNBJ pada hari yang sama sekaligus membayangkan kehadiran lebih 90,000 pengunjung membanjiri kawasan itu.

Antara acara lain yang turut berlangsung adalah Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja membabitkan Malaysia bertemu Australia selain Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja serta Raptai Akhir Konsert Gegar Vaganza.

Bagi mengelak kesesakan lalu lintas, para pengunjung disarankan menggunakan pengangkutan tren Transit Aliran Ringan (LRT) untuk memudahkan perjalanan.

Rapid KL sebelum ini mengumumkan operasi Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi.

Gelagat penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) hadir memeriahkan perlawanan akhir Piala Malaysia antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 26 NOVEMBER 2022.

Sehubungan dengan itu, pihak Prasarana melaksanakan beberapa insentif bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam untuk ke acara tersebut.

Para penumpang akan menikmati diskaun sehingga 25 peratus ke atas penggunaan token dan Touch ‘n Go sahaja bagi penumpang yang menggunakan perkhidmatan rel dan BRT ke/dari Stesen LRT Bukit Jalil.

Semua penumpang yang membeli token atau yang menggunakan kad Touch ‘n Go untuk ke Stesen LRT Bukit Jalil atau dari Stesen LRT Bukit Jalil untuk pulang layak menikmati diskaun tersebut.

Diskaun ini tidak termasuk pengguna yang menggunakan pas-pas perjalanan serta kad-kad konsesi sedia ada.

Perkhidmatan bas perantara percuma ke pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil juga akan disediakan di mana sebanyak 10 buah bas disediakan bagi perkhidmatan tersebut. – MalaysiaGazette