Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Hasni Mohammad bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ikhtiar BN Johor sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di di Dewan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Johor Bahru. Foto AFFAN FAUZI, 01 MAC 2022.

JOHOR BAHRU – Enakmen Anti Lompat Parti akan menjadi agenda pertama dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) sekiranya parti itu dipilih oleh rakyat menjadi kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pengubalan enakmen itu merupakan satu reformasi politik yang akan dilaksanakan oleh kerajaan BN.

“Dalam Ikhtiar BN Johor, kita dalam mereformasikan atau mahu melakukan reformasi politik. Enakmen Anti Lompat Parti adalah agenda pertama sebaik ambil alih kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Hasni melancarkan manifesto BN yang dikenali sebagai Ikhtiar BN Johor. Enakman Anti Lompat Parti termasuk dalam lima ikhtiar utama yang ditawarkan kepada rakyat Johor sempena PRN Johor.

Turut hadir Pengarah PRN Johor BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

Sementara itu Hasni berkata, Ikhtiar BN Johor turut memasukkan janji meneruskan peruntukan RM200,000 kepada wakil rakyat pembangkang.

Jumlah peruntukan yang sama seperti wakil rakyat kerajaan dianggap sebagai tindakan yang wajar diteruskan.

Peruntukan tersebut telah dilaksanakan semasa beliau menjadi Menteri Besar Johor selama dua tahun sebelum ini.

“RM200,000 bagi setiap ADUN ini sudah dilaksanakan. Saya telah mengambil langkah pastikan bahawa kedudukan wakil rakyat dipilih oleh rakyat tidak kira sama ada wakil rakyat pembangkang dan kerajaan asasnya harus sama.

“Sewajarnya sedikit peruntukan untuk projek-projek kecil untuk 56 DUN tiada kecuali, harus diberikan. Ini satu refromasi yang boleh memperkukuhan semak dan imbang sesebuah kerajaan demokrasi. Tak guna kita ada pembangkang yang hanya akur, bersetuju apa sahaja kerajaan buat.

“Wakil rakyat sebelah kerajaan terus merancang, terus merangka program yang sepatutnya. Sementara di sebelah pembangkang pula sewajarnya menjadi semak dan imbang,” katanya.

Mengenai persempadanan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai ramai penduduk, Hasni berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan keberkesanan khidmat wakil rakyat kepada penduduk.

Jelas calon BN bagi DUN Benut itu, banyak kawasan mempunyai jumlah pengundi berjumlah beratus ribu orang.

“Sekiranya BN diberikan mandat dua pertiga, bersedia untuk mencadangakn persempadanan baru bagi kawasan-kawasan yang terlalu ramai pengundi

“Kita perlu lihat perkara ini supaya akhirnya perkhidmatan wakil rakyat itu haruslah dapat memberi ruang dan peluang kepada masyarakat setempat dalam mereka menerima perkhidmatan wakil rakyat.

“Kalau sudah 100,000 satu ADUN itu adalah satu perkara yang mustahil untuk dipikul oleh wakil rakyat,” jelas beliau. – MalaysiaGazette.