KUALA LUMPUR – Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) telah melancarkan logo syarikat yang baharu, menandakan penyertaan Proton sebagai salah satu jenama dibawah naungan mereka.

EON kini mengendalikan sembilan pusat pengedaran Proton setelah mengambil alih cawangan-cawangan tersebut dari Proton Edar Sdn. Bhd.

Logo baharu ini merupakan kali ke tiga penjenamaan semula EON, yang ditubuhkan pada tahun 1984 sebagai pengedar eksklusif kereta Proton di Malaysia.

Pada tahun 1990, perubahan kecil pada logo dibuat sempena penyenaraian mereka di Bursa Malaysia.

EON kemudiannya telah dinyahsenaraikan dari Bursa Malaysia sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula syarikat.

Logo yang baharu ini merupakan perubahan menyeluruh dari logo EON sebelumnya, dengan penampilan yang lebih garang dan moden.

Huruf ‘E’ berwarna merah terletak di dalam bentuk berlian biru, melambangkan langkah syarikat untuk maju ke hadapan.

Akronim syarikat “EON” juga muncul pada font yang lebih moden, yang menandakan kematangan usia jenama itu setelah lebih 30 tahun berkecimpung dalam pengedaran automotif di Malaysia.

E berwarna merah melambangkan keberanian jenama yang mengedar beberapa jenama automotif di Malaysia. Berlian biru mengambarkan kekuatan 36 tahun sebuah jenama yang
kekal utuh, selain ciri-ciri yang lazimnya dikaitkan dengan warna biru: kesetiaan dan kebijaksanaan.

Menurutnya, EON kini memiliki sembilan pusat pengedar PROTON, termasuk empat pusat 4S (penjualan, servis, alat ganti, badan dan cat) dan tiga cawangan 3S.

Empat cawangan ini berada di wilayah tengah, sementara dua cawangan, masing-masing di Johor dan Pulau Pinang.

Berkuatkuasa hari ini, kesemua sembilan cawangan dibawah ini akan berada di bawah pengurusan EON.

Kesemua cawangan tersebut dahulunya dimiliki oleh Proton Edar dan telah bertapak di kawasan masing-masing untuk tempoh yang lama.

Ketika Proton kembali kukuh dengan model terbaharu serta rangkaian model-model facelift mereka, EON berada dilandasan yang terbaik untuk mengambil kesempatan dari populariti kereta nasional pada masa ini.

Kemasukan Proton kepada barisan jenama yang diuruskan EON memperkayakan senarai jenama-jenama yang diuruskan oleh oleh mereka.

Pada ketika ini, ia turut mengedarkan jenama tersohor Jerman, Audi dan Volkswagen serta kenderaan dari Jepun iaitu Mitsubishi.

Bagi Mitsubishi, EON Automart Sdn Bhd merupakan pengedar terbesar jenama Jepun ini di Malaysia, dengan 9 pusat edaran merentasi seluruh negara, turut mengendalikan tujuh pusat 3S di seluruh Malaysia (Ampang, Glenmarie, Johor Bahru, Bayan Lepas, Kuching, Kota Kinabalu dan Tawau).

Dua lagi cawangan EON Automar berlokasi di Melaka, dan Kota Damansara dan merupakan pusat badan dan cat.

Jenama Audi pula diwakili Euromobil, yang mengendalikan Pusat Audi 4S Glenmarie di Shah Alam dan Pusat 3S Audi Johor Bahru di Skudai, serta Pusat Servis Audi Kuala Lumpur di Jalan
Chow Sow Lin di pusat bandar.

Operasi Volkswagen dikendalikan oleh HICOM Auto Sdn Bhd bertempat di VW Seremban. Pusat 3S mereka pula berlokasi di Oakland Industrial Park di Seremban.

EON turut mengendalikan jenama sewa dan pajakan kereta terkenal dunia iaitu Avis di Malaysia, menerusi 14 lokasinya di seluruh negara.

Avis Malaysia telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah ‘Licensee of The Year’ oleh Avis Budget Group pada tahun 2018, selain mempunyai Pensijilan ISO 9001:2015. – MalaysiaGazette