Perancangan Universal Music Malaysia untuk Ernie Zakri adalah pelancaran album penuhnya yang bakal berada di pasaran November nanti.

KUALA LUMPUR – Namanya di dalam persada seni tempatan memang tidak asing lagi malah dirinya telah mewarnai dunia seni suara lebih sedekad.

Kini bintang bernama Ernie Zakri, 31, akhirnya disunting syarikat rakaman antarabangsa, Universal Music Malaysia untuk menyertai senarai artis berprestij mereka.

“Saya berasa sangat gembira dengan tawaran ini dan perasaan teruja serta gementar timbul dalam dirisaya pada waktu yang sama.

“Ini kerana banyak perancangan yang telah dibincangkan bersama pihak Universal Music untuk kemajuan kerjaya saya dan saya begitu tidak sabar untuk semuanya,” ujar pemilik lagu Ku Bersuara mengenai perpindahannya ke syarikat rakaman tersohor itu.

Selain ingin memberikan yang terbaik sebagai artis terbaharu Universal Music, Ernie juga mempunyai harapan tersendiri.

“Semestinya saya berharap akan ada perubahan dalam kerjaya saya, selain ingin mencuba benda yang baharu. Saya memang inginkan perjalanan seni yang baharu dan mengharapkan lebih banyak peluang untuk saya kelak.

“Lagi pun saya memang sudah mengenali syarikat rakaman Universal Music dari dulu lagi. Malah saya juga mengikuti perkembangan artis-artis yang bernaung di bawah mereka.

“Memang menjadi salah satu impian saya untuk bekerja dengan pihak Universal Music. Ini kerana kebanyakan warga kerja mereka terdiri daripada orang yang berpengalaman besar dalam industri muzik tempatan,” tambahnya yang juga ibu kepada seorang anak perempuan.

Satu projek istimewa Ernie Zakri yang juga akan menampilkan lagu berbahasa Inggeris pertamanya berjudul The Best terbitan John Jeeves.

Bersiap sedia untuk bekerjasama dengan syarikat rakaman terbaharunya Ernie menjelaskan bahawa dia bakal mengumumkan pelbagai perkembangan terkini.

“Saya tetap percaya dan akan terus mengejar impian saya. Saya faham bahawa untuk bekerjasama, tiada salahnya untuk mengatakan tidak pada perkara-perkara yang kita tak setuju. Kita harus tahu apa yang kita inginkan dan yakin dengan diri sendiri, walaupun mungkin ada yang tidak percaya pada diri kita sendiri.

“Selain itu, ini satu langkah besar dalam kerjaya saya sebagai seorang artis solo, jadi saya berharap apa yang saya impikan akan berjalan dengan baik. Berkat aspirasi serta hala tujuan yang sama dengan keluarga baharu saya ini, saya harap semuanya akan menjadi lebih baik. Jadi nantikan perkembangan terbaharu kami tidak lama lagi,” jelas Ernie yang juga isteri kepada penyanyi Syamel.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim turut berkongsi kegembiraan serta tujuan utama mereka dalam membawa Ernie menyertai keluarga Universal Music Malaysia.

“Tujuan utama kami adalah untuk membantu Ernie dalam mencipta muzik yang lebih asli dan luar biasa sesuai dengan gaya serta bakat unik yang Ernie miliki. Kami percaya sudah tiba masanya untuk Ernie mengembangkan bakatnya ke luar Malaysia dan mencapai pendengar serantau.

“Kami ingin memperkukuh namanya sebagai sebuah jenama dalam industri muzik dan memberikan peluang untuknya berkolaborasi dengan aneka jenama lain.

“Selain memberinya peluang untuk bekerjasama dengan pemuzik serta penerbit hebat dari dalam dan luar negara, kami juga akan meningkatkan kedudukannya dalam dunia media sosial selain merancang strategi pemasaran yang lebih mantap di samping penganjuran persembahan secara langsung yang lebih efektif,” jelas Kim.

Antara perancangan Universal Music Malaysia untuk Ernie Zakri adalah pelancaran album penuhnya yang bakal berada di pasaran November nanti. Ia satu projek istimewa yang juga akan menampilkan lagu berbahasa Inggeris pertamanya berjudul The Best terbitan John Jeeves.

Album ini bakal memuatkan 10 buah lagu terbitan sembilan penerbit hebat dari Malaysia dan Indonesia.

Turut mengulas tentang perkembangan kerjaya Ernie adalah Feros Sayna selaku Ketua Jabatan Artis & Repertoir dan Pengurusan Artis.

“Kami akan mengembangkan lagi bakat serta keberadaan Ernie dalam industri muzik untuk pergi lebih jauh. Kami juga akan membantunya untuk memperbaiki apa-apa yang boleh ditambah baik demi kemakmuran kerjaya seni serta imejnya.

“Kami juga akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk dirinya dalam memperluaskan kehadiran seninya di samping mengetengahkan bakatnya yang luar biasa. Kami ingin mempromosikan setiap produknya dengan lebih baik supaya Ernie berjaya mencapai potensi penuhnya sebagai seorang artis yang berkaliber,” ujar Feros. – MalaysiaGazette