Pengerusi KTMB, Datuk Nawawi Ahmad (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya KTMB di Ibu Pejabat KTMB, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 10 JULAI 2018.
Pengerusi KTMB, Datuk Nawawi Ahmad (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya KTMB di Ibu Pejabat KTMB, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 10 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan gerabak istimewa kereta api Electric Train Service (ETS) untuk kelas perniagaan (bussines class) akan dilancarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Rani Hisham Shamsuddin mengeluarkan kenyataan tersebut pada sidang media Majlis Sambutan Hari Raya KTMB di Ibu Pejabat KTMB, Jalan Sultan Hishamuddin hari ini.

“Hanya satu gerabak diklasifikasikan sebagai kelas perniagaan dan lima lain sebagai kelas ekonomi seperti biasa,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri KTMB hari ini.

Menurut Mohd. Rani, keistimewaan perkhidmatan gerabak terbaharu ialah penumpang boleh menikmati wifi percuma dan pelbagai lagi perkhidmatan sampingan yang lain.

“Perkhidmatan itu melibatkan laluan ETS akan bermula dari Gemas ke Padang Besar, Kuala Lumpur ke Butterworth dan Kuala Lumpur ke Ipoh.

“Sebanyak 32 penumpang boleh menikmati perkhidmatan khas tersebut dalam satu masa,” ujarnya.

Sebelum itu, bulan Oktober penyediaan wifi percuma akan mula beroperasi.

KTMB menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang turut dihadiri oleh pengerusinya, Datuk Ir Nawawi Ahmad dan diadakan di parkir kereta kakitangan di ibu pejabat KTMB.

“Saya sentiasa mahu KTMB menjadi pilihan utama rakyat dan saya yakin beberapa perubahan akan dijalankan untuk memajukan lagi perkhidmatan kereta api kebangsaan ini,” ujar Nawawi dalam ucapannya.

Beliau juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada kesemua kakitangan KTMB yang bertungkus lumus berkerja bagi menjayakan perkhidmatan kereta api nasional itu berjalan lancar.-MalaysiaGazette