Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Norzilah Mohammed (kiri) bersama Pengerusi EXIM Bank Malaysia, Datuk Mat Noor Nawi (kanan) beramah mesra bersama sebahagian murid Autisme pada Program EXIM Bank Meraikan Kanak-kanak Istimewa sempena Hari Autisme Sedunia di Sekolah Kebangsaan (P) Jalan Batu, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM47,000 disumbangkan oleh Exim Bank kepada Sekolah Kebangsaan (P) Jalan Batu sebagai memenuhi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena sambutan Hari Autisme Sedunia.

Sumbangan itu digunakan untuk membina Taman Inspirasi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Exim Bank, Norzilah Mohammed berkata, ini merupakan tahun pertama pihaknya meraikan kanak-kanak istimewa sebagai langkah memupuk kesedaran dan tanggungjawab bersama.

Norzilah Mohammed

Menurutnya, sebagai sebuah institusi perbankan di Malaysia, Exim Bank terpanggil untuk mengajak masyarakat di negara ini untuk memahami perwatakan autisme dari sudut tingkah laku dan cara berfikir kanak-kanak berkenaan.

Tambah beliau, lokasi sekolah berkenaan yang berjiran dengan ibu pejabat bank tersebut selain memenuhi sasaran dan matlamat CSR menjadi salah satu daripada kriteria ia dipilih dalam program ini.

“Mungkin pada masa-masa akan datang kita akan memilih sekolah-sekolah lain tetapi untuk tujuan yang lain.

“Tahun ini Autisme, mungkin tahun akan datang kita akan cari yang lain tentang apakah sumbangan yang lebih baik untuk kita perkembangkan lagi aktiviti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taman Inspirasi PPKI di sekolah berkenaan di sini hari ini.

Selain itu, Norzilah berkata, pihaknya turut menyumbang sebanyak RM5,000 lagi untuk membeli buku-buku yang diletakkan di perpustakaan sekolah berkenaan.

Safiah Mohamad Wardi

Sementara itu, guru besar sekolah tersebut, Safiah Mohamad Wardi berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan sumbangan yang diberikan oleh pihak Exim Bank itu.

Ujarnya, ia merupakam usaha murni yang melibatkan pihak luar dan langkah itu sememangnya perlu dilakukan agar kanak-kanak istimewa ini dapat merasai pembelajaran secara efektif.

“Di sekolah ini kami ada murid autisme seramai lapan orang dan yang lain pula mengalami hiper aktif, disleksia dan masalah pembelajaran.

“Taman yang dibina ini akan digunakan oleh murid-murid istimewa sebagai terapi untuk merangsang minda mereka dalam pembelajaran,” ujarnya. – MalaysiaGazette