Ezuwan Ismail (tengah) menubuhkan kumpulan trio E1.

KUALA LUMPUR – Tahun kesembilan menceburi dunia fesyen, Ezuwan Ismail yang kini turut bergelar penyanyi kumpulan trio E1 mencipta sejarah baru dalam diari hidupnya.

Tanggal 14 April lalu, bukan hanya setakat mempersembah koleksi raya untuk pentas fesyen Gaya Koleksi Raya 2019 anjuran Andrewsmodel Malaysia, tetapi turut melancarkan single kedua bersempena Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini.

Istimewanya koleksi dan single raya itu dinamakan sebagai Rindu Lebaran.

“Sesuatu yang manis untuk saya kenang bagi bidang fesyen serta nyanyian yang baru disertai. Saya anggap ia sejarah peribadi buat diri.

“Saya dapat ilham menamakan koleksi raya kali ini dengan nama Rindu Lebaran selepas merakamkan lagu dengan komposer S Atan,” katanya yang ditemui selepas pertunjukan fesyen itu berlangsung di The Boulevard, Publika.

Sekalipun berdepan kecaman dan kontroversi termasuk dipertikaikan mutu vokal ketika melancarkan single pertama, Semalam Sahaja pada 14 Februari lalu, ia tidak menghalang penyanyi utama anggota kumpulan trio E1 ini meneruskan minat nyanyiannya.

Malah langkah kumpulan trio berkenaan yang turut dianggotai Zulyasrani dan Ariff Imran bagai dirahmati saat berpeluang menggunakan khidmat komposer otai bernama penuh Hashim Said itu.

Lirik pula nukilan Siso Kopratasa. Proses rakaman dilakukan pada 5 Mac lalu di sebuah studio di Cheras.

f169afc3-6ce8-4cae-8d71-40ba3e052327
Ezuwan Ismail

“Sejak awal lagi saya memang mendambakan lagu raya ciptaan S Atan. Kalau dulu lagu raya ciptaannya untuk Allahyarham Sudirman, kumpulan Black Dog Bone dan Datuk Jamal Abdillah antara yang terus menjadi malar segar hingga sekarang. Saya dan anggota E1 yang lain memang bangga kerana dapat menyanyikan lagu raya sentuhan emas daripada beliau.

“Tak sangka impian kami itu kini jadi kenyataan. Kami ambil masa rakamkan lagu raya itu dalam tempoh kurang dua jam. Saya sendiri berdepan situasi ‘genting’ semasa hari rakaman apabila dimarahi abang S Atan kerana dia memang diketahui cukup tegas semasa bekerja. Saya tak ambil hati dan anggap semua itu sebagai proses untuk saya belajar dan memperbaiki kelemahan diri.

“Cuak juga sebenarnya. Tapi semasa pertemuan awal lagi dengannya, beliau memang cakap akan tegas demi kebaikan. Jadi memang saya sudah diberi amaran awal. Saya sendiri yang banyak menerima teguran daripadanya semasa proses rakaman kerana biasalah mutu vokal ini tidak sehebat Zulyasrani dan Ariff,” katanya.

Ezuwan turut dikenali sebagai Tukang Jahit Termahir Malaysia juga meletakkan harapan menggunung semoga lagu raya itu akan mendapat perhatian peminat muzik tempatan.

“Pastinya saya harap lagu ini akan jadi malar segar seperti mana lagu raya lain. Biar lagu ini kalau setiap musim nak raya, akan jadi pilihan untuk diputarkan di stesen radio dan dimainkan di kaca TV.

“Sebagai penyanyi generasi baru, peluang merakamkan lagu komposer otai ini satu penghormatan yang akan dikenang sampai bila-bila. Malah sentuhan emas komposer lama seperti S Atan ini masih kekal berbisa.

“Seperti mana kami rasa teruja hadir dengan buah tangan baru ini, kami juga berharapkan perkara sama untuk peminat muzik tempatan. Moga lagu ini dapat diterima dan memberi variasi kepada lagu raya di negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ezuwan turut menegaskan yang dia dan Rozita Che Wan tidak pernah bermusuh.

Hubungan mereka pernah dikatakan dingin sebelum ini selepas insiden sindir menyindir yang dimuat naik artis wanita itu menerusi Instagram miliknya pada Februari lalu.

Kritikan pedas Che Ta ketika itu yang secara umum tanpa menyebut nama menasihatkan seorang pereka fesyen supaya tidak menyanyi dan menyamakan suara seperti tercekik sudu mencetuskan pelbagai andaian. Tak kurang juga yang menyifatkan komen berkenaan dituju khas kepada Ezuwan sendiri.

1f468012-ab0a-45ca-b1bd-e4d8cc4008b9
Rindu Lebaran ciptaan komposer terkenal, S. Atan (dua dari kiri).

Malah ada juga yang pelik hingga menganggap semua itu sebagai gimik kerana mereka sebenarnya bersahabat baik dan Ezuwan pula bakal melancarkan single sulungnya berjudul Semalam Sahaja ciptaan Asfan Shah.

“Saya anggap kes sebelum ini bukanlah isu yang besar. Saya yakin dia (Che Ta) hanya bersuara dan beri pendapat. Jauh sekali nak bergaduh atau apa apa. Kami memang tak gaduh pun atau bermasa muka. Saya kenal Che Ta orang macam mana. Memang mulutnya macam itu dan sejenis lantang. Mungkin juga kita menerima dan membaca komen pedas bertulis sekali gus menterjemahkan ikut persepsi masing-masing.

“Che Ta ini sebenarnya seorang yang gemar menyakat dan berlawak. Cuba kalau komen itu kita dengar secara berdepan, pasti akan mengundang tawa.

“Apapun saya tak ambil hati langsung jika sekalipun komen itu ditujukan kepada saya. Saya lihat ia ruang untuk terus memperbaiki kekurangan diri. Saya yakin bakat menyanyi itu boleh terus digilap dan saya tak akan berhenti belajar. Saya juga akan terus masuk kelas vokal untuk memantapkan lagi apa yang kurang,” katanya.

Mengenai undangan pertunjukan fesyen dan pelancaran single kedua raya itu, Ezuwan sendiri tak menyangka Che Ta sudi memenuhi jemputannya.

“Saya jemput semua artis yang pernah bekerjasama selama ini termasuk Che Ta. Tak sangka pula, dia bersetuju. Kalau tahu Che Ta ini orangnya memang sangat baik hati dan selalu menyokong kawannya termasuk saya sendiri.

“Selama ini, Che Ta antara yang tak jemu memberi sokongan saya dalam setiap pertunjukan fesyen yang dianjurkan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai koleksi rayanya kali ini, Ezuwan mereka 28 helaian.

“ 24 daripadanya untuk perempuan dan selebiynya untuk lelaki. Untuk koleksi ini, saya membawa kembali rekaan kurung tradisional, kurung pesak gantung, kebaya dan kurung kedah.

“Saya suntik elemen baru selari dengan citarasa zaman IT menerusi penggunaan fabrik daripada broked lace, linen dan french lace yang ditambah dengan perincian minimalis sesuai untuk kelesaan beraya di desa dan di kota.

“Terdapat pelbagai pilihan dalam warna pastel seperti merah jambu, biru firus, kuning gading dan juga warna pekat seperti merah senduduk, hijau zamrud dan hitam kumbang.

“Koleksi untuk lelaki terdiri daripada rekaan baju melayu Johor dengan penggunaan fabrik bercorak kekotak dan garis vertikal daripada fabrik linen serta kapas dengan padanan warna pastel,” katanya.

Sementara itu, S Atan memberitahu, dia menyiapkan lagu raya ini dalam tempoh tiga hari.

“Lagu ini saya siapkan tiga hari selepas saya jatuh sakit pada bulan Februari lalu.

“Liriknya Siso siapkan pun pada pagi lagu ini dirakamkan kumpulan trio itu. Saya boleh kelaskan lagu ini sebagai genre pop. Saya dan Siso pun sudah banyak kali bekerjasama dan tahu cita rasa masing-masing.

“Insya-Allah lagu ini juga boleh jadi malar segar kalau pihak stesen radio terus putarkan dan mendapat promosi yang baik.

“Ketiga-tiga anggota ini juga mempunyai keunikan tersendiri dalam nada suara mereka,” katanya. – MalaysiaGazette